DATUK Dr Sabariah Putit mencipta sejarah pada 2023 apabila menjadi wanita pertama yang memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak (SPANS) dengan membawa lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang pentadbiran awam, pembangunan modal insan dan reformasi institusi.
Buat pertama kalinya sejak penubuhannya, suruhanjaya ini kini beroperasi dengan keanggotaan penuh mengikut perlembagaan, dengan sembilan ahli yang dilantik mewakili pelbagai etnik dan latar belakang profesional.
Kelulusan kedoktoran dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia serta rekod pencapaian cemerlang dalam menerajui transformasi perkhidmatan awam, beliau kini memberi tumpuan kepada penjajaran fungsi teras SPA dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.
Di bawah kepimpinan beliau, SPA giat memperkukuh amalan pengambilan, memartabatkan meritokrasi, menerima pakai pendigitalan serta memperkukuh tadbir urus.
Semuanya demi memastikan perkhidmatan awam Sarawak berprestasi tinggi dan bersedia untuk masa depan.
Justeru wartawan Suara Sarawak SITI NURAIN RATANI dan jurugambar RAMIDI SUBARI menemu bual Pengerusi SPANS DATUK DR SABARIAH PUTIT yang berkongsi pandangan dan aspirasi beliau mengenai hala tuju perkhidmatan awam Sarawak, cabaran semasa serta usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan penjawat awam negeri ini benarbenar bersedia mendukung visi Sarawak sebagai negeri contoh di rantau ini.

SUARA SARAWAK: Boleh Datuk jelaskan secara ringkas apakah peranan utama SPANS dalam sektor perkhidmatan awam Sarawak?
DATUK DR SABARIAH PUTIT: Sudah tentu. SPANS merupakan badan berperlembagaan yang ditubuhkan di bawah Perkara 35(1) Perlembagaan Negeri Sarawak. Perkara 35(1) Perlembagaan Sarawak memperuntukkan bahawa “hendaklah ada satu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi Sarawak yang terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan tidak kurang daripada empat atau lebih daripada sembilan ahli lain, yang setiap satunya dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak atas nasihat Premier Sarawak.
Bagaimana komposisi ahli SPANS kini mencerminkan kepelbagaian dan profesionalisme di Sarawak?
Pada masa ini, buat pertama kalinya dalam tempoh 60 tahun penubuhannya, SPA telah mencapai kuorum penuh seramai sembilan ahli yang terdiri daripada pelbagai etnik dan profesional.
Kebanyakan mereka merupakan bekas ketua jabatan dan ahli akademik. SPANS juga mempunyai sekretariat yang terdiri daripada 44 kakitangan yang merupakan penjawat awam dan diketuai oleh setiausaha SPA yang bertanggungjawab dalam melaksanakan inisiatif transformasi bagi merealisasikan visi SPA iaitu “Sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Cemerlang” dan Misi “Memastikan Perkhidmatan Awam Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dilengkapi dengan Modal Insan Berkualiti bagi menyokong PCDS 2030.”
Umumnya, masyarakat beranggapan bahawa peranan SPANS hanya terbatas kepada urusan temu duga.
Boleh Datuk jelaskan peranan sebenar SPA?
Umumnya, masyarakat beranggapan bahawa peranan SPA hanyalah menjalankan temu duga semata-mata. Oleh itu, penting untuk memberikan pemahaman yang baik tentang fungsi dan peranan Suruhanjaya seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 36(1) Perlembagaan Sarawak, iaitu tugas Suruhanjaya adalah untuk melantik, mengesahkan, meletakkan dalam jawatan tetap atau berpencen, menaikkan pangkat, memindah dan melaksanakan kawalan tatatertib ke atas anggota Perkhidmatan Awam. Suruhanjaya juga tertakluk kepada arahan umum Yang di-Pertua Negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 39(3) berkaitan dengan pemberian biasiswa.
Pada 1 Julai 2000, selain daripada fungsi Suruhanjaya yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Sarawak, SPA turut diberikan kuasa untuk melantik, mengesahkan, menaikkan pangkat dan melaksanakan kawalan tatatertib ke atas pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan seperti yang diperuntukkan di bawah Ordinan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Fungsi Tambahan) 2001.
Menjelas mengenai Pelan Strategik SPA 2023–2025, apakah langkah-langkah yang diambil untuk memastikan perkhidmatan awam yang profesional dan berkualiti?
Dalam Pelan Strategik SPA 2023- 2025, kami telah menetapkan dua hasil utama iaitu memastikan Modal Insan Berkualiti bagi Perkhidmatan Awam Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi menyokong PCDS 2030. Keduanya ialah memastikan mekanisme pengambilan dan kenaikan pangkat yang cekap dan berkesan bagi Perkhidmatan Awam Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 dan Strategi Ekonomi Hijau pula akan membuka dimensi baharu dalam pembangunan Sarawak, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk golongan muda di bandar dan luar bandar serta mentransformasi gaya hidup dan cara berniaga.

Strategi ekonomi digital ini bertujuan mengurangkan jurang sosioekonomi dan memperluas peluang perniagaan serta pekerjaan melalui sektor ekonomi utama dan pemangkin strategik.
Oleh itu, tanggungjawab utama SPA ialah memastikan perkhidmatan awam Sarawak diperkasakan dengan bakat yang berwibawa dan berintegriti; merekrut bakat terbaik dan mempromosikan penjawat awam yang sesuai dan layak untuk posisi kepimpinan demi menyokong agenda kerajaan negeri kini dan akan datang.
Untuk melaksanakannya, SPA perlu memastikan penilaian pengambilan dilakukan dengan teliti, dan pegawai-pegawai diberi latihan serta pembangunan sewajarnya iaitu tanggungjawab membangun dan melatih penjawat awam adalah di bawah bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri, melalui Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Negeri.
Ini bagi membolehkan mereka menonjolkan keupayaan kepimpinan dan seterusnya dipertimbangkan untuk jawatan kepimpinan yang strategik. Ini selaras dengan Perkara 38A Perlembagaan Negeri.
Bolehkah Datuk jelaskan strategi bagi memperkukuh kepimpinan dan kompetensi penjawat awam serta langkahlangkah yang diambil oleh SPA bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus?
Perkara ini dikendalikan di bawah kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri dan Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia (HRDM).
Untuk memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik, ahli-ahli SPA terdiri daripada individu yang berkaliber tinggi — bekas ketua jabatan dan ahli akademik dari pelbagai latar etnik — yang menjalankan temu duga di pelbagai lokasi di seluruh Sarawak, bagi memastikan keterangkuman calon-calon dari kawasan seluruh Sarawak.
Keputusan temu duga akan dibentangkan semasa Mesyuarat SPA secara berkala untuk disahkan sebelum dimuktamadkan. Selain itu, kami sedang memperkukuh platform digital kami dan berharap untuk mempunyai sistem digital lebih canggih berasaskan AI yang boleh mengurangkan subjektiviti dan perspektif yang berat sebelah, serta meningkatkan kecekapan, ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Bagaimana SPA akan menyumbang kepada pencapaian Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak?
Seperti yang diketahui, PCDS 2030 ialah strategi jangka panjang yang diperkenalkan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Menjelang 2030, Sarawak akan menjadi sebuah masyarakat maju yang dipacu oleh data dan inovasi dengan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan alam sekitar yang lestari.
Bagi pihak SPA Sarawak, dengan visi “Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Cemerlang” dan Misi “Memastikan Perkhidmatan Awam Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan mempunyai Modal Insan Berkualiti bagi Menyokong PCDS 2030”.
Kami berhasrat untuk membantu mentransformasikan perkhidmatan awam Sarawak agar berkesan, cekap dan boleh dipercayai dalam melaksanakan PCDS 2030 dengan memastikan pengambilan penjawat awam yang layak dan mampu menggalas tugasan diberi tanggungjawab sebagai pemimpin.
Ekosistem peranan SPA untuk sejajar dengan PCDS 2030 perlu diperkukuh seperti di negaranegara maju seperti Singapura dan New South Wales, Australia.
Kami sedang membangunkan platform digital pintar berasaskan AI untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan serta memperbaiki pengalaman calon dengan mengenal pasti potensi kejayaan calon berdasarkan kemahiran, pengalaman dan faktor yang relevan.
Pendekatan menyeluruh (Wholeof-Government) diperlukan untuk memastikan pelantikan berdasarkan meritokrasi mengikut kriteria ASK (The Right Attitude, Skills & Knowledge) agar perkhidmatan awam Sarawak sentiasa bersedia untuk masa kini dan masa hadapan.
Mulai 1 Ogos 2023, biasiswa turut diberikan kepada calon yang mengikuti pengajian diploma dan ijazah dalam enam sektor ekonomi (pembuatan, pertanian, pelancongan, perhutanan, perlombongan, perkhidmatan) dan tujuh pemangkin (transformasi digital, inovasi, pendidikan dan modal insan, infrastruktur asas, utiliti, pengangkutan dan tenaga boleh baharu) PCDS 2030. Namun, peranan ini telah diserahkan kepada Yayasan Sarawak pada 1 Jun 2025.

Bagaimana SPA merancang untuk membangunkan sektor perkhidmatan awam Sarawak sebagai pemacu utama pembangunan negeri seperti yang disebut oleh Premier Sarawak?
Aspek meritokrasi, integriti dan ketelusan sentiasa ditekankan untuk menambah baik proses kerja berkaitan fungsi teras SPA Sarawak.
Kerjasama erat dan penciptaan bersama (co-creation) dengan agensi-agensi perkhidmatan awam Sarawak serta sokongan semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan SPA berfungsi dengan cekap dan berkesan mengikut mandat yang diberikan.
Bagaimana SPA merancang untuk menangani cabaran daripada perubahan persekitaran yang pesat dan kemajuan teknologi?
Kami bersikap proaktif dan berpandangan jauh dalam pendekatan kami.
Kami menerima teknologi semasa dan menggalakkan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan, termasuk penambahbaikan e-rekrutmen. Pendigitalan fungsi teras SPA membolehkan kami menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dan kemajuan teknologi dengan lebih baik.

Akhir sekali, bolehkah Datuk kongsikan perancangan masa depan SPA Sarawak untuk mengekalkan keberkesanan perkhidmatan awam?
Asas kepada tadbir urus yang baik adalah memastikan bekalan berterusan tetap individu berkualiti tinggi, berintegriti, jujur dan komited untuk berkhidmat demi kepentingan awam.
Ringkasnya, pemimpin perkhidmatan awam perlu mempunyai kejelasan tujuan. Mengamalkan budaya meritokrasi berasaskan prestasi dan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam Sarawak adalah penting.
Piawaian prestasi yang jelas serta kefahaman penjawat awam terhadap jangkaan prestasi akan membantu mereka mencapai matlamat yang ditetapkan dan mengekalkan prestasi perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan, meskipun berdepan cabaran global.
Justeru, peranan SPANS semakin mencabar dalam menggalas tanggungjawab bagi memastikan proses merekrut, mempromosi dan mengawal disiplin penjawat awam perlulah efisien dan efektif.
Reformasi sumber manusia ini memerlukan SPANS bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Unit Sumber Manusia Negeri dan Institut Kepimpinan bersinergi bagi menjamin kapasiti sumber manusia yang dapat mendukung perubahan yang dipacu kepimpinan negeri bagi meletak Sarawak di arena global dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah.
Reformasi ini juga memerlukan pengintergrasian sistem dan perkongsian data yang diamalkan oleh negara maju seperti Singapura




