KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadang merekrut pesara-pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mewujudkan semula Pasukan Sarawak Ranger untuk membantu pasukan keselamatan sedia ada mengawal isu keselamatan sempadan.
ADUN Baleh Nicholas Kudi Jantai berkata, usaha tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan misi kawalan keselamatan sempadan malah membantu menghentikan aliran penyeludupan manusia dan aktiviti haram pendatang asing tanpa izin ke negara ini.
“Isu berhubung perkembangan ekonomi dan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia perlu ditangani dan dipertingkatkan.
“Hal ini adalah selaras dengan hasrat negara jiran itu memindahkan ibu negaranya ke kepulauan Borneo.
“Justeru, saya mencadangkan agar Kerajaan Sarawak merekrut bekas-bekas askar yang telah bersara dan mewujudkan semula pasukan Ranger Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perbahasan menyokong usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Dalam ucapan sama, beliau menyeru agar kerajaan negeri membantu meningkatkan peluang-peluang industri makanan dan pertanian di kawasan Baleh.