Remaja 13 tahun antara yang ditahan AADK Sarawak

KUCHING: Seorang remaja berusia 13 tahun antara 17 individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dalam Operasi Perdana untuk membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan minggu lepas.

AADK dalam kenyataannya berkata hasil risikan dan maklumat awam, AADK menyerbu beberapa lokasi panas di ladang kelapa sawit di Kota Samarahan serta Asajaya yang disyaki menjadi tempat untuk melepaskan gian.

“Dalam serbuan itu, AADK telah memeriksa sejumlah 28 individu  dan  menahan 17 individu berusia antara 13 hingga 47 tahun kerana positif dadah jenis Methamphetamine. Turut ditahan dua individu disyaki tokan dadah, melibatkan rampasan dadah jenis  Syabu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 40.9 gram,” jelas kenyataan itu.

Kes  diserahkan kepada balai polis Kota  Samarahan dan disiasat mengikut Seksyen 39(A)(2) dan 12 (2) Anti Dadah Berbahaya 1952.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh menghubungi AADK di talian 082-233 540.

Suara Sarawak