SIBU: Tujuh kanak-kanak termasuk remaja lelaki berusia 11 hingga 15 tahun dicekup polis kerana mencuri tiga motosikal di Sibu Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya hari ini berkata, penangkapan itu dibuat susulan laporan yang diterima oleh pengadu pada 10 Disember lalu antara jam 7 pagi hingga jam 10 pagi.
“Bertempat di Taman Sibu Jaya, terdapat tiga laporan polis telah dibuat oleh tiga orang pengadu mengatakan motosikal milik mereka telah hilang dipercayai telah dicuri.
“Bertindak atas maklumat, pada tarikh yang sama sepasukan polis terdiri dari Bahagian Siasatan Jenayah Sibu dan juga Bahagian Ronda Cegah Jenayah, Balai polis Sibu Jaya telah berjaya menangkap dua orang suspek warga tempatan berumur lingkungan 12 tahun hingga 15 tahun.
“Susulan dari tangkapan pertama tersebut telah berjaya menangkap lima orang lagi rakan suspek warga tempatan umur di antara 11 tahun hingga 13 tahun,” katanya.
Zulkipli berkata, turut dirampas tiga buah motosikal yang dilaporkan hilang.
Tambahnya, tangkapan dan barang rampasan dibawa balik ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal polis mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes curi motosikal tersebut.
“Semua suspek telah di pohon reman selama dua hari mulai 11 hingga 13 Disember 2023,” tegas beliau.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selamat tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun, dan hendaklah juga dikenakan denda.



