KUCHING: Seorang remaja lelaki diperintahkan ke Sekolah Hendry Gurney sehingga berusia 21 tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Remaja lelaki berusia 18 tahun membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) Akta yang sama, kerana memasukkan dadah terlarang jenis Amphetamine dan Methamphetamine di dalam badannya.
Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 11.25 pagi, 4 Januari lalu.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, seorang remaja lelaki telah ditahan oleh sepasukan polis dan dibawa ke IPD Kuching kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas tertuduh didapati positif dadah.
Kemudian, sampel urin tertuduh dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis dan laporan menunjukan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






