KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang remaja nakal, kerana merogol kekasihnya bawah umur dalam dua kejadian berasingan di sebuah sekolah di Kuching, dua tahun lalu.
Majistret Ling Hui Chuan memerintahkan demikian selepas pendengaran laporan akhlak tertuduh berusia 16 tahun dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini, selain mengambil kira pelbagai aspek.
Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, kerana merogol mangsa berusia 14 tahun dalam bilik kelas di sebuah sekolah dalam dua kejadian berasingan, pada tahun 2024 dan tahun 2025.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan ibu mangsa menerima maklumat daripada pihak sekolah bahawa anaknya telah melakukan hubungan seks dengan tertuduh.
Laporan polis dilakukan dan tertuduh berjaya ditangkap pada 17 November 2025.
Rampasan beberapa barang kes diserahkan oleh guru sekolah kepada pihak polis termasuk lima buah buku nota, dan sekeping kondom yang belum digunakan.
Hasil siasatan mendedahkan bahawa pada 14 November 2025, pengadu dipanggil oleh guru sekolah setelah menjumpai buku diari anaknya yang mengandungi catatan tentang mereka melakukan hubungan seks.
Semasa disiasat, mangsa mengaku ada melakukan hubungan seks dengan kekasihnya (tertuduh) sebanyak dua kali, selain laporan kesihatan mangsa mendapati terdapat koyakan lama di hymen mangsa.
Difahamkan, tertuduh merupakan pelajar bermasalah di sekolah dan banyak dikenakan tatatertib seperti menghisap rokok dan vape, mencemarkan nama baik institusi pendidikan (amaran lisan), berdua-duan dengan pasangan, dan terakhir sekali melakukan hubungan seks di sekolah.
Difahamkan juga, sepanjang tahun 2025, tertuduh tidak hadir ke sekolah selama 24 hari tidak bersebab dan lima hari bersebab dengan alasan ‘malas ke sekolah’.
Ibu bapa tertuduh yang terlalu sayangkannya tidak percaya tertuduh telah banyak kali ponteng sekolah kerana ibunya pernah menghantar surat rasmi tidak hadir ke sekolah tertuduh selama lima hari.
Keputusan akademik tertuduh juga turut merosot kerana masalah disiplin.
Untuk rekod, mangsa kini berusia 16 tahun.
Mangsa juga pernah menghadiahkan seluar dalam yang pernah digunakannya kepada tertuduh sebagai tanda cinta mereka.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hui Chuan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa hari ini (10 Februari), selaras dengan Seksyen 96 Akta Kanak-Kanak 2001.
Hui Chuan memberitahu bahawa hukuman pemenjaraan bukanlah pilihan utama dalam menangani pesalah kanak-kanak.
Namun demikian, peruntukan di bawah Seksyen 75 Akta Kanak-Kanak 2001 membolehkan beliau menjatuhkan hukuman tersebut.
Selain itu, beliau memerintahkan supaya remaja itu ditahan secara berasingan bagi mengelak daripada bergaul dengan banduan dewasa selaras dengan Seksyen 96(3) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau juga mempertimbangkan untuk kanak-kanak terbabit mengikuti program pendidikan sepanjang tempoh pemenjaraan.
Semasa prosiding, Peguam Tiong Ing Neng dan Alex Kong yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan kes.
Bagaimanapun, Hui Chuan menolak permohonan yang dikemuka pihak pembelaan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani.
Siasatan kes dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Ain Wong Abdullah.



