Remaja direman selepas rogol teman wanita Instagram

DALAT: Polis Dalat pada Jumaat menahan seorang remaja berusia 15 tahun selepas disyaki merogol teman wanitanya yang baharu dikenali menerusi Instagram, dua bulan sebelumnya.

Remaja yang tidak lagi bersekolah itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Sungai Ud di sini.

Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Roslan Leman berkata, suspek ditahan selepas ditangkap abang mangsa dan rakan di rumahnya, sebelum suspek bersama-sama mangsa dibawa ke Balai Polis Oya. Difahamkan mangsa telah menjalinkan hubungan dengan suspek sejak berkenalan menerusi Instagram dua bulan lalu.

Pada hari kejadian kata Roslan, suspek telah mengajak mangsa keluar dengan menunggang sebuah motosikal dan berkunjung ke rumah suspek sekitar jam 8.30 malam, pada Khamis.

“Mereka berdua tidur bersama di dalam bilik suspek, sebelum keesokan paginya suspek meraba dan memaksa mangsa membuka seluar untuk mengadakan hubungan seks.

Pada jam 12 tengah hari Jumaat, kata Roslan, mangsa telah meminta suspek menghantarnya pulang ke rumah, namun mangsa takut dimarahi ibunya.

“Abang mangsa kemudian pergi ke rumah suspek sebelum membawa suspek dan mangsa terus ke balaipolis.

Suspek telah ditahan polis sekitar jam 10.30 malam Jumaat lepas. “Polis juga merampas tilam dan pakaian milik suspek untuk dijadikan sebagai barang kes,” ujarnya. Suspek telah direman empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.