ARTIKEL

Remaja edar dadah bernilai RM1.89 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Polis Sarawak berjaya merampas 52.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.89 juta dalam satu serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Batu Kawa, di sini semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata susulan rampasan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri menahan remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun.

Azman berkata pihaknya turut menyita sebuah kereta di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah seorang penganggur yang tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing didapati negatif dadah.

“Modus operandi suspek dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dadah syabu sejak April lalu.

“Dadah dikirim melalui perkhidmatan kurier oleh ahli sindiket yang berada di Semenanjung Malaysia dan suspek menghantar dadah ke lokasi yang diarahkan melalui telefon,” kata Azman.

Menurut Azman, suspek dipercayai mengedar dadah untuk pasaran di sekitar daerah Kuching dan daerah berdekatan.

Suspek kini direman tujuh hari hingga 25 Mei depan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU