Remaja lemas ketika mandi di Julau

BINTANGOR: Seorang remaja lelaki dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Kanowit Nanga Matop Julau, petang tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Mohamad Asnan Led berkata, mangsa, 14, pergi ke lokasi itu kira-kira 2.30 petang untuk berkelah.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang mandi bersama adiknya dilaporkan tidak pandai berenang.

“Bagaimanapun adik mangsa terselamat dalam kejadian tersebut,” katanya kepada media.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.31 petang.

Pada masa yang sama katanya, seramai enam anggota Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Sungai Merah turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Namun setibanya di lokasi, kami dimaklumkan oleh penduduk bahawa mangsa dijumpai dan dibawa keluarganya ke Klinik Kesihatan Julau.

“Mangsa yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan di telinga dan mulut, telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Klinik Kesihatan Julau,”katanya.