
BAU: Seorang remaja lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh belakang kereta pikap di Jalan Bau-Stass, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila mangsa, 16, sedang dalam perjalanan dari arah Pasar Bau menuju balik ke rumahnya di Kampung Stass.
Katanya, pemilik pikap, lelaki berusia 68 tahun telah meletakkan keretanya di tepi sebelah kiri jalan kerana mengalami kerosakan.
“Apabila sampai di KM 25, Jalan Bau-Stass dalam keadaan jalan lurus, gelap dan tiada lampu jalan, mangsa telah melanggar bahagian belakang pikap tersebut. Rempuhan itu menyebabkan mangsa terpelanting di atas jalan bersama motosikalnya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pihak Paramedik Hospital Bau, manakala pemandu pikap tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami patah pergelangan tangan kanan, pecah tengkorak depan, luka belakang telinga kiri, patah tulang rahang, cecair otak keluar dari hidung kiri dan telinga kiri dan luka sedikit di lutut kanan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



