ARTIKEL

TAHAN… Remaja lelaki yang meloloskan diri daripada sekatan jalan raya diberkas polis hari ini.

Remaja Nekad Lolos Sekatan Jalan Raya Diberkas Polis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tindakan nekad seorang remaja lelaki meloloskan diri daripada sekatan jalan raya dalam operasi membanteras samseng jalanan Ahad lalu membawa padah apabila dia ditahan polis dalam tempoh kurang 48 jam selepas kejadian itu.

Menurut kenyataan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuching, remaja berusia 18 tahun itu ditahan di sebuah kediaman pada jam 12.30 tengah hari tadi hasil risikan dan operasi susulan.

“Penahanan itu sekali gus menamatkan usaha memburu suspek yang sebelum ini bertindak melarikan diri ketika sekatan dijalankan di kawasan Masja pada Ahad lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja bertindak memecut dan mengabaikan arahan berhenti di sekatan jalan raya yang merupakan sebahagian daripada Op Samseng Jalanan (Op Tutup).

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah mengundang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Hasil serbuan, polis turut merampas motosikal yang dipercayai digunakan semasa kejadian selain beberapa kelengkapan menunggang.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

“Selain itu, pesalah juga berdepan tindakan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menegaskan operasi bersepadu seperti Op Samseng Jalanan akan terus dipergiat bagi mengekang aktiviti lumba haram dan tingkah laku berbahaya di jalan raya khususnya melibatkan golongan muda.

Katanya lagi, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak mengambil tindakan terburu-buru yang boleh mengancam keselamatan diri serta pengguna lain.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan pematuhan undang-undang harus menjadi keutamaan, bukan sekadar untuk mengelak saman,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU