PELAKON terkenal, Datuk Remy Ishak, dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian tulang rusuk selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika menjalani penggambaran.
Pengurusnya, Azlin Abas, memaklumkan pelakon berusia 43 tahun itu menerima rawatan perubatan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mengambil berat terhadap keadaan Remy.
“Adalah dimaklumkan Remy mengalami retak tulang rusuk susulan satu insiden kecil di lokasi penggambaran.
“Beliau kini sedang menerima rawatan yang sewajarnya dan berada dalam keadaan stabil. Kami amat menghargai kefahaman serta keprihatinan semua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, Azlin masih belum dapat berkongsi maklumat lanjut berhubung insiden tersebut, termasuk sama ada Remy akan ditahan di hospital bagi rawatan susulan.
Terdahulu, isteri Remy, Ezza Yusof, memaklumkan mengenai kejadian itu menerusi satu hantaran di Threads sambil memohon orang ramai mendoakan kesembuhan suaminya.
“Doakan suami saya, Remy Ishak, yang mengalami kemalangan di lokasi penggambaran. Semoga cepat sembuh dan dapat kembali beraksi,” tulisnya.
Untuk rekod, pada hujung Disember lalu, pelakon filem Sangkar itu pernah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan selepas mengadu mengalami kesakitan pada bahagian dada.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Remy memaklumkan dadanya terasa seperti terkena renjatan elektrik dan turut berkongsi foto tangannya yang sedang menerima rawatan intravena (drip).



