BAU: Destinasi ekopelancongan Paku Rock Maze Garden di daerah ini dijangka kembali menjadi tumpuan pengunjung menerusi program ‘Revisiting Paku Rock Maze Garden’ yang akan berlangsung selama empat hari bermula 30 April hingga 3 Mei ini.
Penganjuran program bermatlamat memperkukuh promosi produk pelancongan berasaskan alam semula jadi serta menonjolkan keunikan geologi kawasan Paku yang semakin dikenali sebagai antara tarikan utama di Bau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Datuk Miro Simuh berkata, penganjuran program tersebut bukan sekadar acara promosi, sebaliknya turut berfungsi sebagai platform pendidikan alam sekitar kepada masyarakat dan pengunjung.
“Sepanjang acara empat hari tersebut, pelbagai pengisian telah disusun bagi berkongsi maklumat berharga berkaitan alam sekitar.

“Selain mempromosikan acara, kita juga mahu menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke sini untuk menikmati khazanah alam yang kita miliki,” katanya dalam sidang media sempena program tersebut di sini pada Khamis.
Pendekatan penganjuran kali ini turut memberi penekanan kepada konsep pelancongan mampan yang diterajui komuniti setempat, selaras dengan usaha memperkukuh ekonomi daerah Bau melalui sektor pelancongan.
Katanya, Paku Rock Maze Garden dirancang untuk terus diposisikan sebagai salah satu produk pelancongan berasaskan komuniti atau Community Based Tourism (CBT) yang melibatkan kerjasama erat antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pihak berkuasa tempatan.
“Daerah Bau sangat bertuah kerana dikelilingi keindahan semula jadi. Selain Paku Rock Maze Garden, pengunjung boleh melawat destinasi lain seperti Paku Hot Spring, Gua Pari-Pari, Gua Angin, Tasik Biru, Pusat Kebudayaan Gumbang dan Pekan Siniawan.
“Segala pembangunan ini dijalankan supaya manfaatnya kembali semula kepada komuniti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Miro berkata Paku Rock Maze Garden ketika ini merekodkan kehadiran sekitar 1,000 hingga 2,000 pengunjung setiap bulan, menunjukkan potensi besar untuk terus diperkasa sebagai destinasi pelancongan utama di kawasan berkenaan.
Beliau menambah, melalui pendekatan ‘revisit-driven’, program kali ini memberi fokus kepada usaha menarik semula pengunjung lama selain menarik kehadiran pelawat baharu melalui pengisian aktiviti yang lebih segar, interaktif dan diterajui sepenuhnya oleh komuniti setempat.
Pendekatan itu juga diharap dapat memperkukuh identiti Paku Rock Maze Garden sebagai destinasi ekopelancongan yang bukan sahaja menawarkan keindahan alam semula jadi malah memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung dari segi pendidikan dan penghayatan terhadap alam sekitar.
Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya hadir memeriahkan program tersebut di samping mengambil peluang menerokai pelbagai tarikan pelancongan menarik yang terdapat di sekitar daerah Bau.
Program berkenaan dijangka menjadi salah satu inisiatif penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Bau sebagai antara destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan komuniti di Sarawak.


