I DENTITI digital merupakan bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital. Sistem ini berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografi.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pelaksanaan ID Digital Nasional (IDN) memberi manfaat kepada rakyat, komuniti perniagaan dan kerajaan bagi perkhidmatan digital lebih efisien dan terpercaya.
Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM80 juta bagi menyegerakan pelaksanaan IDN yang bermula minggu ini.
Peruntukan awal itu merupakan inisiatif kerajaan ke arah transformasi digital serta membangunkan inisiatif digital khususnya yang membabitkan keperluan untuk berurusan dengan kerajaan. Perdana Menteri menegaskan, pemberian subsidi bersasar atau kemudahan lain, sama ada jabatan atau pihak swasta, bermula dengan pendaftaran IDN.
Sistem IDN ini dibangunkan bagi mewujudkan platform pengesahan untuk dimanfaatkan oleh sektor awam dan swasta menerusi pengesahan identiti pengguna masing-masing semasa melakukan transaksi digital.
Pelaksanaan IDN ini disasarkan kepada semua warganegara dan penduduk tetap Malaysia yang berusia lima tahun dan ke atas, namun ia tidak menggantikan penggunaan dan fungsi MyKad.
Sistem itu hanya menjadi nilai tambah dalam memperkukuhkan pelaksanaan dan keselamatan MyKad sedia ada.
Untuk itu, kerajaan dijangka melaksanakan inisiatif IDN ini dengan sepenuhnya pada 2024, dengan proses perancangan dan pelaksanaan oleh JPN sudah pun bermula tahun ini. Sistem ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana beberapa negara sudah melaksanakannya termasuk China, Singapura, United Kingdom, Estonia, Kanada, Korea Selatan dan India.
Di India, kerajaan mereka memperkenalkan Aadhaar, iaitu sistem ID digital berasaskan biometrik, yang menjadi sistem ID biometrik terbesar di dunia iaitu meliputi lebih satu bilion orang.
Singapura pula melaksanakan sistem ID digital SingPass yang menawarkan pintu masuk tunggal untuk rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dengan selamat. Manakala di Korea Selatan memperkenalkan sistem i-PIN, iaitu kaedah ID digital yang membolehkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian menggunakan nombor pengenalan peribadi.
Seperti di Estonia, dengan identiti digital mereka membuka akaun tanpa perlu hadir secara fizikal di bank, selain janji temu dengan doktor serta mendapatkan preskripsi ubatubatan dalam talian melalui akses rekod kesihatan.
Dengan ID digital itu, rakyat Estonia juga melakukan transaksi penyewaan hartanah, mengundi dalam talian serta e-pembelajaran.
Sistem ini dilihat memudahcara orang awam di negara-negara tersebut bagi mengakses perkhidmatan serta melakukan transaksi dalam talian dengan mengesahkan identiti diri mereka menggunakan identiti digital. Kesimpulannya, perlaksanaan IDN ini kelak dijangka menggalakkan lagi inovasi dalam penyampaian perkhidmatan bagi penambahbaikan kualiti kehidupan rakyat.
Ia juga dijangka memberi tambah nilai kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi digital serta sektor perkhidmatan lain seperti perkhidmatan awam, kewangan, e-dagang, e-dompet dan e-kesihatan. Pelaksanaan IDN di negara kita juga membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan tanpa sempadan tempat dan masa. Namun begitu, kerajaan perlu memastikan sistem dan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) negara terus ditambah baik agar sentiasa terkini dan selamat.



