KUCHING: Hadiah wang tunai RM20,000 menjadi kenangan manis buat Muhamad Rezaril Indra Ridzwan atau Reza selepas peserta dari Kedah itu dinobatkan sebagai juara Bintang Kecil 2026, malam tadi.
Reza berjaya menewaskan lima peserta lain menerusi persembahan lagu Madah Berhelah, nyanyian asal Ziana Zain, pada pentas kemuncak pertandingan itu.


Kejayaan berkenaan melayakkan Reza membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM20,000.
Tempat kedua dimenangi Muhamad Aryan Zuhair Muhamad Akram dari Negeri Sembilan yang menerima wang tunai RM15,000 selepas mempersembahkan lagu Hidup Dalam Mati, nyanyian asal Syamel.


Wakil Sabah, Qistina Izara Roblir pula menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM10,000 menerusi persembahan lagu Cuba Jadi Aku, nyanyian asal Nadeera Zaini.
Tiga peserta lain yang turut berentap ialah Nor Sofea Adelia dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyampaikan lagu Samudera nyanyian Aisha Retno; Melissa Rose dari Pulau Pinang menerusi Sumpahan Salju nyanyian Ara Johari dan wakil Sarawak, Nor Ariana, yang membawakan Gerhana nyanyian Ziana Zain.


Program anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Sementara itu, segmen duo turut menceriakan pentas apabila Melissa Rose bergandingan dengan Nor Sofea Adelia menerusi lagu Zapin Melayu nyanyian Lesti Kejora.


Aryan Zuhair pula berduet bersama Qistina Izara menerusi lagu Fantasia Bulan Madu nyanyian kumpulan Search, manakala Reza bergandingan dengan Nor Ariana menyampaikan lagu Hanya Memuji nyanyian Shanty dan Marcell.
Kemeriahan malam kemuncak turut diserikan dengan persembahan artis jemputan, antaranya Lan Solo, Wani Kayrie dan Ezharhanze, selain dikendalikan pengacara Bell Ngasri dan Fifa.

Barisan juri terdiri daripada Ketua Seksyen Hiburan dan Muzik RTM Kuching, Yap Yen; Saiful Hamdan, pemuzik Majlis Seni Sarawak dan penggubah lagu untuk Simfoni Orkestra Sarawak; penyanyi Fanzi Ruji; komposer Sharon Paul serta Luqman Abd Aziz, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik yang turut bertindak sebagai ketua juri.






