CAROLINA UTARA: Sekurangkurangnya 25 kematian dilaporkan apabila ribut musim sejuk meluas melanda negeri di timur dan selatan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Ribut yang membawa hujan beku, salji lebat dan jalan raya berais menyebabkan lapangan terbang dan lebuh raya ditutup selain mengakibatkan lebih sejuta penduduk terputus bekalan elektrik ketika ribut semakin buruk.
Menurut laporan pelbagai saluran media, ribut berkenaan menyebabkan suhu di banyak negeri menjunam ke bawah paras beku.
Georgia, Louisiana, Mississippi, Tennessee dan Texas antara negeri paling teruk terjejas, apabila pembentukan ais memutuskan talian elektrik, menyebabkan gangguan bekalan kuasa serta melumpuhkan bandar utama seperti Atlanta, Houston dan Nashville.
Kebanyakan perniagaan dan sekolah di kawasan terlibat ditutup sebagai langkah pencegahan keselamatan awam.
Menurut laman sesawang PowerOutage.us, yang menjejaki gangguan elektrik di seluruh AS, Tennessee mencatatkan jumlah gangguan tertinggi dengan sehingga 339,000 pelanggan terputus bekalan elektrik setakat tengah hari Ahad.
Hampir 180,000 penduduk di Mississippi dilaporkan terjejas, manakala hampir 150,000 pelanggan di Louisiana turut mengalami gangguan bekalan elektrik.
Texas dan Georgia masing-masing merekodkan hampir 100,000 pelanggan tanpa bekalan elektrik, dengan pasukan kecemasan bekerja tanpa henti bagi memulihkan bekalan secepat mungkin.
Salji tebal turut menjejaskan kawasan Midwest, termasuk Ohio, dengan bandar utama seperti Cincinnati dan Columbus menerima antara 15 hingga 25 sentimeter (cm) salji setakat ini.
Hampir 30 cm salji direkodkan di bandar Dayton dan Springfield di barat daya negeri itu, dengan pihak berkuasa bandar menggesa penduduk supaya tidak menggunakan jalan raya yang berais dan kekal berada di rumah.
Lebih 16,000 penerbangan di seluruh AS dibatalkan setakat ini akibat ribut musim sejuk berkenaan, dengan ribuan lagi penerbangan mengalami kelewatan di lapangan terbang seluruh negara.
Bandar utama yang mengalami pembatalan dan kelewatan penerbangan termasuk Atlanta, Boston, Chicago, Dallas, Detroit, Houston, New York, Philadelphia dan Washington, DC.
Pakar kaji cuaca berkata cuaca sejuk melampau itu dijangka berterusan di banyak negeri sehingga awal minggu ini, ketika ribut berkenaan masih melanda kawasan luas di AS. – Bernama / Anadolu



