ARTIKEL

RINDU DI PAGI AIDILFITRI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP kali Aidilfitri, pelbagai lagu raya berkumandang di radio, televisyen serta platform digital.

Ada yang membawa kegembiraan dan kemeriahan, namun tidak kurang juga lagu yang menyentuh hati.

Antara lagu yang mendapat perhatian ramai kali ini ialah Senyum Gugur di Penghujung Doa nyanyian Dayang Nurfaizah.

Ia merupakan lagu tentang kerinduan terhadap orang tersayang yang telah meninggal dunia serta perasaan kehilangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Bagi sesetengah pendengar, lagu ini menjadi lebih bermakna apabila didengar ketika musim perayaan.

Saat orang ramai bergembira menyambut Aidilfitri, ada juga yang menyimpan rasa rindu terhadap insan tersayang yang telah pergi buat selama-lamanya.

Hakikatnya, Aidilfitri bukan sahaja tentang pakaian baharu, juadah enak dan kunjungan sanak saudara, malah turut mengundang kenangan yang mengusik jiwa.

Kerusi yang dahulu diduduki oleh ayah atau ibu mungkin kini kosong. Gelak tawa yang pernah memeriahkan ruang tamu pula hanya tinggal dalam ingatan.

Dalam keadaan seperti itulah lagu dendangan Dayang Nurfaizah ini sering menjadi pengiring emosi.

Raya ini, raya yang berbeza, sayu tanpa sahutan suara.

Bait lirik daripada lagu itu mungkin kedengaran ringkas, namun maknanya cukup mendalam bagi mereka yang pernah kehilangan insan tersayang.

Ada yang terkenang akan wajah ibu yang saban tahun sibuk di dapur menyediakan juadah raya seperti lemang, ketupat dan rendang.

Ada juga yang teringat akan ayah yang sentiasa menunggu anak-anak pulang ke kampung halaman.

Apabila mereka tiada lagi, suasana pagi raya terasa berbeza.

Walaupun kemeriahan masih ada, jauh di sudut hati tetap terselit rasa kehilangan yang sukar digantikan.

Dalam budaya masyarakat kita, menziarahi pusara ahli keluarga pada pagi Aidilfitri juga menjadi amalan yang lazim.

Di situlah doa dipanjatkan, bunga ditabur dan kenangan lama kembali dikenang.

Ketika berdiri di hadapan pusara, ramai yang menyedari bahawa hubungan kasih sayang tidak berakhir dengan pemergian seseorang.

Sebaliknya, ia terus hidup melalui ingatan dan doa yang tidak putus.

Lagu ini juga mengingatkan bahawa kerinduan merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia.

Ia mengajak pendengar menghargai setiap detik bersamasama insan tersayang selagi mereka masih ada.

Hal ini demikian kerana kita tidak pernah tahu bila pertemuan akan bertukar menjadi kenangan.

Hari ini mungkin kita masih sempat bersalaman dan memohon kemaafan, tetapi suatu hari nanti mungkin hanya kenangan yang tinggal.

Oleh sebab itu, Aidilfitri juga menjadi waktu terbaik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, memohon maaf dan menyatakan kasih sayang kepada mereka yang kita hargai.

Kerinduan itu mungkin tidak akan pernah berakhir, namun hal itu menjadi bukti kasih sayang yang pernah terjalin begitu mendalam.

Sesungguhnya, seperti yang digambarkan dalam lagu tersebut, rindu terhadap insan yang telah pergi akan sentiasa ada.

Namun, melalui doa dan kenangan, kasih itu tetap kekal walaupun dipisahkan oleh alam yang berbeza.

BERITA LAIN

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU