Rindu mengajar di dalam kelas

SETIAP pagi, kebiasaannya guru akan berjalan menaiki dan menuruni tangga memasuki kelas sambil membawa buku untuk mengajar pelajar.
Maka keriuhan ucapan “Selamat Pagi Cikgu” akan memecah suasana sekolah sehinggalah ke tengah hari.
Bagaimanapun keadaan tersebut kian beransur hilang apabila bukan semua pelajar dibenarkan menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
Untuk tempoh ini, tugas guru bukanlah mudah apabila sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan semula sejak diperkenalkan pertengahan tahun lalu.
Walaupun ancaman pandemik Covid-19 kini kian mengganas, ia tidak melunturkan semangat Nastasha Johnny, 26, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart Sibu untuk memastikan semua pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Bukan mudah buat kami (guru) apabila terdapat pelbagai masalah yang dihadapi pelajar kerana ada yang tidak mempunyai gadjet, ada yang berkongsi gadjet dengan ibu bapa, akses Internet lemah, data cepat habis, tambahan ada ibu bapa yang bekerja dan banyak lagi.
“Sebagai guru, banyak yang perlu kita fikirkan sebab kita hanya mahu mereka mendapat input dan maklumat yang sama dan tidak tercicir,” kongsinya kepada Suara Sarawak.
Tambahnya lagi, guru juga menghadapi masalah tersendiri yang perlu ditangani kerana di rumah, guru bukan hanya perlu mengajar tetapi juga sibuk dengan tugasan rumah terutama mereka yang sudah berkeluarga.
“Kerja sudah pasti bertambah. Jika di sekolah, guru hanya fokus kerja di sekolah, maka guru perlu bijak menguruskan jadual kerja mereka sebaiknya,” ujarnya lagi yang kini mengajar menggunakan Google Classroom.
Baginya, sesi PdPR ini akan berjalan lancar jika pelajar memberi kerjasama dan berani memberitahu masalah mereka kepada guru.

Sebagai guru jelas Nastasha, dia akan mencari inisiatif lain untuk mengatasi masalah pelajarnya.
“Bagi pelajar yang ada kekangan ini, saya akan salurkan bahan kepada mereka dalam bentuk rakaman suara dan dokumen lain agar mereka dapat melihat dan belajar,” ujarnya lagi yang turut merindui saat berinteraksi dengan pelajar di dalam kelas sebelum ini.
Manakala bagi Ammar Zaqwan Aizzad Yunus, 30, yang turut berhadapan dengan masalah yang sama berkata, guru perlu lebih fleksibel dan kreatif dalam membantu menyampaikan maklumat kepada pelajar.
“Saya menyediakan dua modul iaitu modul untuk dalam talian yang menggunakan platform Telegram, Google Classroom dan satu lagi bagi di luar talian iaitu bahan yang saya cetak untuk pelajar.
“Seterusnya bahan yang dicetak ini saya hantar ke sekolah dan ibu bapa akan mengambilnya.

“Manakala bagi yang tidak dapat ke sekolah, saya hantar gambar dan bahan melalui mesej dan diubah mengikut keperluan mereka,” ujarnya yang juga menggunakan multimedia interaktif untuk memudahkan pelajar.
Guru Pendidikan Seni ini turut berkongsi bahawa dia juga sering berbincang dengan ibu bapa untuk mencari penyelesaian masalah yang dihadapi oleh pelajar.
“Secara keseluruhan respons daripada pelajar amat baik tetapi dari segi pemahaman pelajar saya tidak dapat pastikan tahap pemahaman mereka tambahan dengan pelbagai kekangan lain yang mereka hadapi,” jelas anak jati Sri Aman ini.
Ammar berharap ibu bapa memainkan peranan mereka dan tahu betapa pentingnya kesedaran terhadap pendidikan supaya dapat memastikan anak-anak mereka masih dapat belajar walaupun dalam situasi pandemik Covid-19.
Dia juga bersetuju sepenuhnya mengenai cadangan untuk menggunakan radio dan televisyen bagi memberikan akses siaran pendidikan kepada pelajar.

“Inisiatif ini jelas dapat membantu pelajar yang tiada alat peranti dan akses Internet.
Cadangan ini sangat baik sesuai dengan situasi sekarang “Saya rindu nak jumpa pelajar tetap ada tetapi keadaan sekarang lebih penting untuk kita buat penjarakan fizikal dan penting demi kesihatan dan keselamatan pelajar,” katanya lagi.
Melihat kepada situasi yang dialami dua guru ini jelas mereka memainkan peranan mereka sebaik-baiknya dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar dalam tempoh ini.
Dalam pada itu untuk tempoh ini adalah wajar bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencari jalan penyelesaian dengan mengubah semula modul pembelajaran PdPR termasuk mengambil langkah lain untuk memyelesaikan perkara yang berlaku.
Antaranya memberikan subsidi kepada ibu bapa dalam pembelian peranti gadjet atau menyediakan peranti khas kepada pelajar.
Maka usaha kerajaan dalam membantu membangunkan akses capaian Internet khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk tempoh ini juga perlu segera diusahakan dan dibangunkan demi pembangunan anak bangsa.