LONDON: Risalah Pelancongan Gawai Dayak yang menawarkan tiga pakej utama, iaitu Pakej Bidayuh, Pakej Orang Ulu dan Pakej Iban, telah dilancarkan di London baru-baru ini.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, pelancaran risalah tersebut dilihat sebagai usaha mempromosikan pelbagai aktiviti menarik bersempena dengan sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal tiba.
“Ketiga-tiga pakej itu bakal menawarkan pengalaman menarik serta luar biasa kepada para pelancong selain memberi peluang kepada mereka menghayati kepelbagaian tarikan budaya yang ada di Sarawak,” katanya.
Beliau diwakili Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Anielia Siam pada 22 April lalu.
Risalah itu, jelasnya, menggariskan pelbagai pakej bagi pelancong merasai keunikan budaya dan warisan yang ada di negeri ini.
Dengan sokongan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia (HCM) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) di London, katanya risalah itu dapat menyalurkan maklumat secara langsung mengenai perayaan Gawai Dayak kepada penduduk di seluruh United Kingdom dan negara Eropah yang lain.
Roland dalam pada itu yakin perayaan Gawai Dayak memberi impak positif bukan sahaja kepada masyarakat, tetapi juga negara melalui pendidikan dan pemahaman budaya, pemeliharaan dan promosi budaya, pembangunan komuniti dan keusahawanan, serta pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Kami mempunyai begitu banyak program pengalaman untuk ditawarkan dan saya berbesar hati untuk menjemput bukan sahaja pelancong tetapi juga rakyat Malaysia yang menetap di luar negara untuk pulang dan menyertai sambutan Gawai Dayak,” katanya lagi.
Selain Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2024, pelbagai acara lain turut diadakan seperti Bazar Gawai Dayak (16 hingga 26 Mei) di MJC Batu Kawa Kuching, Karnival Gawai Dayak (6 hingga 9 Jun) di Dewan Manggeng, Siburan dan Gawai Dayak Perarakan Budaya (15 Jun) di Padungan dan Kuching Waterfront.
Hadir sama, Suruhanjaya Tinggi Malaysia (HCM) di London, ACP Mohamed Alex Imran Abdullah, Timbalan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) di London, Siti Syazalena Amir Sharifuddin, Pegawai Kebajikan Rumah Yayasan Sarawak di London, Kasubi Bakir serta Ketua Masyarakat komuniti Bidayuh, Iban dan Orang Ulu.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi Gloria Pahang, Eksekutif Kanan Pembangunan Perniagaan, Acara Perniagaan Sarawak (BESarawak), di gloria@sarawakcb. com atau hubungi 6017 8511351.






