ARTIKEL

Rubiah merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Sarawak Tahun 2026 di sini, hari ini | Foto: Mohd Alif Noni

RISDA kenal pasti 38,000 hektar kebun getah matang tidak ditoreh di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sedang mengenal pasti kira-kira 38,000 hektar kebun getah matang milik pemilik yang tidak ditoreh di Sarawak untuk mendapatkan persetujuan mereka mengusahakan semula kebun berkenaan melalui RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, berkata pengambilalihan pengurusan kebun berkenaan tidak dilakukan secara automatik, sebaliknya RISDA terlebih dahulu mengenal pasti pemilik dan mengadakan rundingan dengan mereka.

Katanya, kebanyakan kebun berkenaan tidak diusahakan disebabkan faktor usia pemilik, selain ada yang telah berpindah dan tidak lagi menguruskan kebun mereka.

“Kalau individu ini tidak mahu mengusahakan ladang getah ini sendiri, RPSB boleh mengusahakannya bagi pihak mereka dalam situasi menang-menang melalui perjanjian khas dengan pemilik berkenaan.

“Langkah itu bertujuan memastikan pokok getah yang sudah matang terus mengeluarkan hasil dan tidak dibiarkan tanpa ditoreh kerana tujuan utama kita adalah untuk meningkatkan pengeluaran getah negara.

“Kita tidak mahu membazirkan ladang yang sudah ada tetapi tidak ditoreh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Sarawak Tahun 2026 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata RISDA turut berperanan sebagai pembeli utama getah menerusi RPSB bagi memastikan pekebun kecil mendapat pasaran dan harga yang lebih berpatutan.

Katanya, pendekatan berkenaan berjaya meningkatkan harga getah daripada sekitar RM2.75 hingga RM2.80 sekilogram sebelum ini kepada kira-kira RM5 sekilogram di Semenanjung, manakala harga tertinggi direkodkan di Sarawak ialah RM4.20 sekilogram.

“Bagaimanapun, hari ini harga di Sarawak sekitar RM4 sekilogram kerana harga getah bergantung kepada pasaran,” katanya lagi.

Beliau berkata usaha berkenaan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil, khususnya di kawasan luar bandar.

Bagi memudahkan pekebun kecil menjual hasil kepada RISDA Plantation, katanya, RISDA turut menyediakan pusat pengumpulan getah serta perkhidmatan pengangkutan bergerak.

“RISDA akan turun mendapatkan getah daripada pekebun kecil, jadi mereka tidak perlu bergerak dan menanggung kos tambahan untuk menjual hasil.

“Pengumpulan ini bukan setiap hari tetapi dibuat beberapa kali seminggu mengikut jadual dan RISDA akan bergerak ke kampung-kampung untuk mendapatkan hasil getah,” ujarnya.

Beliau berkata RISDA juga terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui amalan pertanian baik, termasuk penggunaan teknologi dalam kaedah penorehan dan pembajaan.

Katanya, pendekatan itu bertujuan meningkatkan pengeluaran susu getah daripada setiap kebun yang diusahakan pekebun kecil.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU