KOTA KINABALU: Ahli Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) digalakkan untuk menghidupkan semula instrumen kewangan sosial Islam seperti baitulmal dan wakaf sebagai strategi memperkukuh ekonomi minoriti Muslim serantau.
Presiden RISEAP yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedua-dua instrumen tersebut diiktiraf sebagai alat penting dalam menangani kemiskinan, menyokong aktiviti dakwah serta menjamin pembangunan komuniti secara mampan.
“Penginstitusian semula baitulmal dan wakaf harus dijadikan strategi pemerkasaan ekonomi, sama ada melalui persidangan, program latihan atau platform perkongsian ilmu, khususnya di kawasan minoriti Muslim yang memerlukan sokongan berstruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kepimpinan Belia Antarabangsa RISEAP yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Beliau turut menegaskan, pendidikan adalah salah satu fokus penting dalam agenda RISEAP untuk menggalakkan lebih banyak ahli bekerja ke arah pembangunan dan pemurnian kandungan Islam serta dakwah di rantau ini.
“Pendekatan inklusif ini bagi membolehkan ahli RISEAP, yang kebanyakannya memiliki kepakaran tersendiri untuk merangka program serta kurikulum pendidikan Islam mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan masyarakat masing-masing,” ujarnya.
Persidangan tersebut menghimpunkan seramai 22 peserta dari Malaysia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Myanmar, Filipina, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka, Papua New Guinea, Vanuatu dan Samoa.

Ia merupakan kesinambungan daripada Latihan Da’i Antarabangsa yang dilaksanakan di Kuala Lumpur pada Februari lalu, hasil kerjasama antara RISEAP dan International Da’wah Institute of Putra Kuala Lumpur (IDIPKL).
Melalui pelbagai bengkel intensif, forum kepimpinan, interaksi silang budaya serta pendedahan lapangan, program ini bertujuan memperkukuh kapasiti pemimpin Islam muda serantau agar lebih berdaya saing, yakin, berpandangan global dan berakhlak mulia.






