KAPIT: Kerajaan memperuntukkan RM1.4 juta untuk melaksanakan projek pembaikan cerun Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit yang runtuh akibat hujan lebat pada awal Mac lalu.
Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memuji usaha pihak kontraktor yang berjaya menyempurnakan pelaksanaan projek itu lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.
Menurutnya, kerja awalan seperti ukur dan penyiasatan serta kajian tanah dilaksanakan pada 2022 sebelum projek bermula pada 24 November 2023.
Ia telah siap sepenuhnya pada 22 Ogos tahun ini tanpa lanjutan masa (EOT).
“Projek ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menyiapkan dan menyerahkan satu lagi projek berteraskan Rakyat MADANI yang berkualiti dan tepat pada masa seperti yang telah dijanjikan.
“Malah, ia merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan infrastruktur cerun berada pada tahap yang terbaik, selamat dan stabil, terutamanya di lokasi yang terancam akibat daripada kejadian hakisan,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Siap Bagi Pembaikan Cerun di IPD Kapit hari ini.
Kejadian runtuhan cerun di kawasan parkir berhadapan kuarters IPD Kapit berlaku pada Mac 2020, dipercayai akibat hujan lebat yang berterusan selama seminggu.
Susulan itu, Unit Perancang Ekonomi meluluskan permohonan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan cerun tersebut.
Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), JKR Malaysia, diamanahkan untuk mengendalikan pelaksanaan projek ini.
Reka bentuk projek ini disediakan secara konvensional dalaman dan kaedah cerucuk besi (steel sheet pile) telah dipilih untuk digunakan bagi projek ini.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) ingin merakamkan penghargaan kepada KDN yang telah memberikan kepercayaan serta kerjasama kepada pihak JKR Malaysia dan JKR Sarawak, khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.
“Segala pengalaman dan pengajaran amat berguna untuk dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek-projek sebegini di masa hadapan ke arah pengurusan projek yang terbaik dari konteks kualiti, kos dan masa,” ujarnya.
Nanta turut menyeru pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).
“JKR akan terus memantau keadaan pasca penyerahan projek supaya tiada perkara yang tertangguh, dan projek dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.


