KUCHING: Peruntukan dana sebanyak RM1 bilion oleh Kerajaan Sarawak sepatutnya digunakan untuk memastikan warga pendidik dan sekolah mendapat jaringan internet yang kuat, selaras dengan pelaksanaan e-Education, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya inisiatif ini bagi membolehkan hubungan guru dan anak didik terjalin akrab sambil meningkatkan kualiti infrastruktur luar bandar.
“Pelajar harus diberikan prasarana yang baik untuk menimba ilmu,” jelasnya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Ke-25 dan Persidangan Agung Perwakilan ke-37 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia 2019 di sini.
Tambahnya, di sebalik kehangatan isu peruntukan RM1 bilion yang berlaku kini, Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Sarawak akan tetap bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk membangunkan sekolah daif di Sarawak.
“Pada masa yang sama, kita juga akan memberi perhatian kepada era digital dan Revolusi Industri 4.0 bagi mewujudkan generasi masa depan yang terdedah kepada budaya teknologi terkini.
Abang Johari menambah, antara langkah dan pendekatan baharu untuk merealisasikan usaha ini adalah dengan menjemput pensyarah luar negara berkongsi idea bersama-sama guru besar, dengan menggunakan dana negeri Sarawak sendiri.
Seramai 822 peserta hadir ke konvensyen ini yang merupakan acara tahunan untuk para guru besar.