RM1 juta bina pusat jagaan di tempat kerja

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju memperuntukkan RM1 juta untuk membina pusat jagaan kanak-kanak atau taska di tempat kerja di negeri ini. Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah  Abdullah berkata, perkara itu mendapat maklum balas postitif daripada beberapa agensi kerajaan di Sarawak.

Menurutnya, antara agensi berminat untuk mewujudkan taska di tempat kerja setakat ini termasuk Bangunan Baitul Makmur (Masja), Pejabat Residen Miri, Jabatan Kerja Raya Samarahan dan Pejabat Residen Betong.

“Seperti kita tahu, apabila ibu bapa bekerja khususnya golongan muda masalah yang mereka hadapi adalah tiada siapa yang hendak menjaga anak-anak mereka.

“Disebabkan itu, kita berusaha mewujudkan Pusat Jagaan Kanak-kanak di tempat kerja supaya dapat membantu kakitangan,” katanya pada program Inspirational Book Series 2019 di sini, semalam.

Dalam hal berkaitan, beliau juga menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan membaca cerita iaitu Jayvien Spir berumur lima tahun dengan tajuk 5 Lovely Friends dan Safa Dayani berumur enam tahun, dengan cerita bertajuk The Proud Flamingo.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, trofi, sijil dan hadiah penghargaan. Program Inspirational Book Series 2019 itu anjuran Smart Reader Worldwide sempena Jerayawara Hartanah dan Rumah Kedua 2019 anjuran Sheda.

Suara Sarawak