MIRI: Projek menaik taraf 27 jambatan di kawasan Baram akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, manakala usaha menaik taraf jalan-jalan bekas pembalakan masih dalam peringkat kajian dan perancangan.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM100 juta untuk membaik pulih jalan yang rosak teruk akibat hujan lebat di kawasan tersebut.
“Pada 24 Jun lalu, kita telah melaksanakan satu projek rintis untuk meneliti secara terperinci keadaan jalan-jalan bekas pembalakan di Baram. Namun mekanisme yang digunakan sebelum ini didapati kurang berkesan.
“Sebab itu kita akan bawa satu kertas cadangan baharu ke Kabinet pada 19 haribulan ini untuk menambah baik pelaksanaannya,” katanya pada majlis perasmian Karnival Gawai Tradisi Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Ibu Pejabat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) di sini semalam.
Menurutnya, usaha baik pulih infrastruktur di kawasan pedalaman ini perlu diteruskan demi memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Antara projek terbesar yang telah diluluskan ialah pembinaan jalan baharu dari Miri ke Marudi, Mulu, Kuala Melinau, Long Panai hingga Long Lama melibatkan jarak keseluruhan 122 kilometer dengan sembilan jambatan utama.
“Projek ini dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun 2025 dan merupakan antara langkah penting ke arah meningkatkan mobiliti penduduk pedalaman,” katanya lagi.
Tambah beliau, penubuhan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) untuk Telang Usan dan Mulu juga merupakan bukti kesungguhan kerajaan untuk mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur dan memperluas jaringan kemudahan asas di kawasan tanah tinggi.
“Untuk kawasan ini sahaja, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM750 juta melalui HDA dan ini sangat besar ertinya kepada rakyat di kawasan pedalaman yang selama ini bergantung pada jalan lama dan tidak sempurna,” ujarnya.
Katanya lagi, pembangunan infrastruktur yang rancak di kawasan pedalaman Baram menunjukkan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan dasar pembangunan inklusif dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen, dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau dan beberapa jemputan yang lain.





