SARIKEI: Penduduk Kampung Parit Bugis melahirkan rasa syukur dan teruja selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa projek pembangunan infrastruktur bagi memulihkan semula potensi kawasan itu sebagai antara hab pertanian utama di daerah ini.
Ketua Kaum Kampung Parit Bugis, Aishah Abdullah berkata, pengumuman tersebut memberi sinar baharu kepada penduduk yang sekian lama berdepan pelbagai kesukaran terutama berkaitan kemudahan jalan raya dan sistem perhubungan.
Katanya, penduduk berharap projek yang dirancang dapat dilaksanakan segera demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kawasan ini memiliki tanah yang subur untuk pelbagai aktiviti berkaitan pertanian, namun tidak ramai yang mampu bertahan kerana ancaman air masin yang sering memasuki kawasan kebun dan merosakkan tanaman,” katanya ketika diminta mengulas pengumuman terkini kerajaan Sarawak untuk memajukan kawasan itu.
Aishah berkata, cadangan kerajaan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan ban, jalan raya, perkhidmatan feri dan jambatan amat dialu-alukan.
“Saya tidak dapat meluahkan dengan kata-kata selain terima kasih. Kami amat bersyukur,” ujarnya.
Menurutnya, usaha kerajaan diyakini mampu menghidupkan kembali kegiatan ekonomi penduduk terutama dalam sektor pertanian yang pernah menjadi sumber utama pendapatan masyarakat di kawasan berkenaan suatu ketika dahulu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh memaklumkan kerajaan memperuntukkan kira-kira RM120 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Parit Bugis dan kawasan sekitarnya.
Katanya ketika diminta mengulas, daripada jumlah berkenaan sebanyak RM45 juta disalurkan melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) untuk kerja pembinaan jalan raya, manakala RM75 juta lagi diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bagi pelaksanaan projek jalan ban.
Beliau berkata, pembangunan itu dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi selain memudahkan pergerakan penduduk.
Menurut beliau, antara projek yang akan dilaksanakan termasuklah pembinaan laluan yang menghubungkan Parit Bugis dengan Sekolah Kebangsaan Muara Payang selain pembinaan jalan sepanjang kira-kira 2 kilometer yang menghubungkan kawasan tersebut ke Bukit Wang sebelum menuju ke Batang Rajang.



