SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM133 juta untuk penyambungan projek paip dari Loji Rawatan Air Slabi di Serian ke Gedong dan Simunjan bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan tersebut untuk menyediakan bekalan air bersih terawat kepada penduduk sekitarnya dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Sumber air di kedua-dua kawasan ini menjadi masalah kepada penduduknya dan saya telah berbincang dengan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.
“Justeru, kita memutuskan untuk menyediakan dua sumber air.
Satu dari Kuching dan satu lagi dari Loji Rawatan Air Slabi, Serian.
“Ini bermakna apabila tiba musim kemarau dan panas, bekalan air akan sentiasa ada dan mengisi tangki air paras tinggi yang terdapat di Simunjan dan Gedong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Mantar Gawai Bersama Rakyat Daerah Simunjan 2023 di Dewan Mesra Simunjan di Simunjan, hari ini.
Tambahnya, bagi bekalan air dari Slabi, ia akan disambung melalui pembinaan paip air di sepanjang jalan baharu dari Munggu Kopi Serian ke Gedong dan Simunjan.
Untuk berita terperinci, sila langgani e-paper atau akhbar Suara Sarawak di pasaran.