KUCHING: Sejumlah RM15,400 diperuntukkan Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong untuk diagihkan kepada penerima sempena penganjuran Program Jalinan Kasih Ramadan di kawasan Padungan.
Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Padungan berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab untuk terus mendekati dan menyantuni masyarakat.
“Ramadan bukan sahaja bulan untuk kita meningkatkan ibadah, tetapi juga bulan untuk kita menyemai nilai keprihatinan, berkongsi rezeki dan menyantuni golongan yang memerlukan.
“Program seperti ini amat bermakna kerana dapat memberi ruang kepada kita untuk bertemu, beramah mesra dan mengeratkan silaturahim, khususnya dalam Ramadan yang penuh rahmat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 di Masjid Darul Akhirat, Kampung Lumba Kuda, di sini, pada Selasa.

Sementara, beliau mendedahkan, sebanyakRM8,000 disumbangkan kepada Masjid Darul Akhirat, diikuti RM3,000 diagihkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lumba Kuda dan Kampung Elis.
“Besar harapan agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak masjid dan JKKK untuk melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan dan program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Manakala, sebanyak RM4,400 dibelanjakan bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan dan bantuan tunai kepada 20 penerima, yang terdiri daripada golongan ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya, asnaf dan mualaf.
“Sumbangan ini sedikit banyak dapat membantu meringankan beban para penerima, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” ringkasnya.
Dalam perkembangan lain, Rodiyah memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak meningkatkan nilai Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS 2026) untuk penerima yang layak bermula 10 Mac lalu.
Selain katanya, Kerajaan Persekutuan juga memulakan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada yang layak pada tarikh yang sama.
Tambahnya, penerima dinasihatkan untuk memanfaatkan bantuan dengan berbelanja secara berhemah dan membeli mengikut keperluan, khususnya dalam membuat persiapan menjelang perayaan yang bakal tiba.






