SIMANGGANG: Sebanyak 12 projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM164,725,000 kini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Sosial Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).
Menurut SADA, 10 daripadanya merupakan projek fizikal, manakala dua lagi melibatkan projek bukan fizikal.
Salah satu daripada 12 projek berkenaan adalah pengubahsuaian Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) Sri Aman yang telah siap dilaksanakan dengan kos sebanyak RM3.5 juta.
SADA mengumumkan perkara tersebut semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sosial SADA yang dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor di Wisma SADA, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, 10 lagi projek masih berada pada fasa perancangan dengan empat daripadanya adalah Kompleks Sukan Lingga (RM20 juta), cadangan pembinaan ‘Landing Ramp’ di Simanggang (RM5 juta), cadangan Pusat Komuniti Rehat dan Rawat (RM25 juta) serta pembinaan Dewan Simposium Batang Lupar (RM45 juta).
SADA memaklumkan empat lagi projek adalah menaik taraf Dewan Bedah 3, Bina Baru Blok Psikiatri dan Blok Klinik Pakar Hospital Sri Aman II (RM30 juta) dan Pusat Sokongan Sosial Komuniti Sri Aman Fasa 1 (RM3 juta).
Selain itu, ia juga merangkumi penilaian pengambilan tanah dan reka bentuk Pusat Pentadbiran Pantu (RM5 juta) dan penilaian pengambilan tanah Pusat Pentadbiran Lingga baharu serta pembinaan Kuaters Kerajaan Negeri Lingga (RM2.7 juta).
Dua lagi projek adalah Pusat Khidmat Batu Lintang (RM15 juta) dan cadangan pembinaan Dewan Komuniti Serbaguna di Rumah Patricia, Seduku Panjai, Lingga (RM9.9 juta).
Cadangan pembinaan satu unit Papan Iklan Digital Sri Aman (RM600,000) berada dalam status masih belum dilaksana.

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred
KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan


