JASIN: Lebih RM2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek mitigasi banjir termasuk menaik taraf sistem pengairan melibatkan sungai dan parit di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1 juta diperuntukkan khusus untuk Parit Keliling di Kampung Semujuk, Seri Mendapat.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu bertujuan memperkukuh sistem saliran sekali gus mengurangkan impak banjir di kawasan berkenaan.
“Sungai Rambai merupakan kawasan tadahan air yang lazimnya menerima aliran air dari Johor ketika hujan lebat berikutan kedudukan geografinya.
“Keadaan muka bumi di Sungai Rambai yang mampu menyimpan air serta mempunyai tanah yang subur menjadikan kawasan itu sebagai kawasan tadahan air, oleh itu, kami bersama agensi berkaitan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis penutup Festival D’Bendang Melaka 2026 di Sungai Rambai yang disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang, di sini, hari ini.
Siti Faizah berkata sebanyak 46 parit di seluruh DUN Sungai Rambai dibersihkan dan diselenggara secara berkala mengikut jadual bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik.
Katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memainkan peranan penting dalam membantu kerja pembersihan parit utama bagi memastikan aliran air sentiasa lancar.
“Segala usaha menaik taraf infrastruktur saliran dan penyelenggaraan berkala ini membantu mengurangkan impak kerosakan akibat banjir serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu Beliau berkata bersempena dengan Festival D’Bendang Melaka 2026 yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lepas, pelbagai aktiviti diadakan seperti jualan mini karnival usahawan desa, pameran agensi serta sukan rakyat. – BERNAMA






