RM3 untuk Nasi Lemak Banjir

KUCHING: Memahami cabaran ekonomi dalam kalangan masyarakat ketika Covid-19, seorang usahawan muda tampil mengeluarkan idea menjual Nasi Lemak Banjir dengan harga RM3 sahaja.

Pengusaha Nasi Lemak Banjir Nurul Hidayah Zamil, berusia 25 tahun berkata, dia mula berkecimpung dalam perniagaan secara kecil-kecilan selepas menamatkan pengajian peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2018.

“Melihat cabaran untuk mendapatkan pekerjaan, saya mula menjual nasi bajet yang dikenali sebagai Nasi Udak yang mengandungi nasi putih, ayam berempah dan sambal cili, mula aktif pada 2019.

“Perniagaan ini juga dijalankan bersama-sama tunang saya Muhammad Nazim Adil yang juga sudah tamat pengajian,” katanya kepada Suara Sarawak.

Nurul yang menjalankan perniagaan di Kampung Gersik menambah, pada 2019 dia berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 membuatkan perjalanan perniagaan agak terganggu.

“Saya mendapat inspirasi untuk menjual Nasi Lemak Banjir ini kerana teringat nasi lemak yang pernah dimakan di Semenanjung.

Saya cuma menjual dengan harga RM3 tetapi dengan lauk yang lengkap seperti telur dadar, kacang, ikan masin serta sambal.

“Harga yang saya tawarkan ini rendah kerana memahami keadaan ekonomi masyarakat ketika ini.

Fokus saya juga kepada penduduk kampung di sini dan mampu dibeli oleh semua orang,” ujarnya.

Menjelas lanjut, perniagaan Nasi Lemak Banjir dimulakan pada awal Febuari lalu selepas membuat keputusan untuk kembali meneruskan perniagaan selepas berhenti operasi untuk sementara waktu.

“Saya berhenti operasi menjual Nasi Udak kerana khuatir dengan keadaan Covid-19 dan tidak mahu mengambil risiko.

“Pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, saya menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan yang ingin membeli Nasi Udak tetapi selepas kes meningkat, saya berhenti untuk sementara waktu.

“Kini, saya berhadapan dengan kekurangan bekalan cili geronong untuk membuat sambal Nasi Udak.

Keadaan banjir dan musim hujan membuatkan bekalan daripada pembekal juga terjejas,” katanya.

Nurul mendedahkan, perniagaan Nasi Lemak Banjir ini juga kian mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di sekitar kawasan tersebut.

“Setiap hari saya mampu menjual sebanyak 80 bungkus nasi lemak, dan ia jumlah paling tinggi setakat ini.

“Perniagaan ini belum sampai sebulan. Mungkin selepas dikenali nanti, saya akan cuba mempelbagaikan lauk dan berharap akan lebih mendapat sambutan,” jelasnya

Dalam pada itu Nurul memberitahu, dia sangat menjaga kualiti barangan jualannya.

“Sambal untuk berniaga di waktu pagi akan mula dimasak seawal jam 5.30 pagi dan untuk malam pula saya akan mula memasak pada jam 3 petang.

“Tiada barangan yang disimpan satu malam untuk perniagaan saya kerana saya amat mementingkan kualiti dan rasa,” ujarnya.

NURUL Hidayah dan Muhammad Nazim menyediakan Nasi Lemak Banjir yang berharga RM3 sebungkus di Kampung Gersik, Petra Jaya, Kuching.

Menurut Nurul, dia juga menerima tempahan sekiranya ada pelanggan yang berminat untuk menempah dalam kuantiti yang banyak.

“Ketika awal perniagaan ini, saya ada menerima tempahan sebanyak 100 bungkus untuk pelanggan bersedekah di surau dan masjid.

“Saya juga tidak menetapkan jumlah minimum untuk tempahan kenduri dan sebagainya.

Saya akan membuat sesuai dengan permintaan pelanggan,” katanya lagi.

Dalam hal berkaitan, Nurul memaklumkan dia hanya menggunakan laman Facebook (Udak Takeout) untuk membuat iklan tentang jualannya dan memudahkan pelanggan untuk membuat tempahan.

“Saya dan tunang (Nazim) juga berharap agar perniagaan ini dapat berkembang dengan baik dan kami dapat memiliki kedai sendiri suatu hari kelak,” ujarnya.

Gerai Nasi Lemak Banjir ini beroperasi sekitar jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan pada 5 petang hingga 9 malam.