SERIAN: Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM30 juta pada tahun ini bagi menaik taraf kemudahan serta infrastruktur pos kawalan di sepanjang sempadan Sarawak sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan anggota yang bertugas.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata peruntukan tersebut memberi tumpuan kepada penambahbaikan pos sedia ada susulan pembangunan beberapa pos baharu yang telah dilaksanakan pada tahun 2024.
“Bagi tahun 2026, kita fokus kepada menaik taraf kemudahan di pos-pos sedia ada, khususnya dari segi infrastruktur dan kelengkapan, demi memastikan keselesaan serta kebajikan anggota bertugas sentiasa terpelihara.
“Ini penting kerana operasi di kawasan sempadan sangat bergantung kepada tahap kesiapsiagaan serta keupayaan anggota kita,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerja menyantuni veteran tentera di salah satu rumah veteran di Kampung Ensebang Plaie di sini, hari ini.
Menurut beliau, ketika ini terdapat 12 pos kawalan di Sarawak termasuk tiga pos gabungan Malaysia-Indonesia yang melibatkan kerjasama antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD).
Dalam pada itu, Adly berkata kawalan di sempadan tidak berdepan masalah kekurangan anggota setakat ini dengan sistem penggiliran sedia ada berjalan lancar dan teratur.
“Namun begitu, kementerian menegaskan keperluan untuk terus menambah baik pos-pos sedia ada dari semasa ke semasa, selaras dengan usaha memperkukuh kebajikan anggota.
“Dalam konteks sempadan Sarawak yang luas dan mencabar, keutamaan turut diberikan kepada peningkatan keupayaan anggota pertahanan, dengan fokus berterusan terhadap aspek kebajikan sebagai faktor penting dalam menyokong keberkesanan operasi,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian turut merancang penambahan pos kawalan di Sarawak pada masa hadapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Tetapi, bagi tahun ini, kementerian banyak tumpukan kepada penambahbaikan kerana pada tahun 2024 kita memang telah bangunkan beberapa pos tambahan di Sarawak.
“Memang ada keperluan pada masa akan datang kerana kita tahu bahawa sempadan Sarawak ini agak luas dan begitu juga di Sabah,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah penambahan pos kawalan akan diumumkan setelah dimuktamadkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Sarawak.
Terdahulu, beliau melawat Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Tebedu, Serian dalam usaha memperkukuh hubungan pertahanan dan keselamatan antara TDM dan TNI-AD.
Lawatan tersebut adalah selaras dengan Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara iaitu Cegah Rintang Berpadu seperti yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2020 – 2030 (KPP) bagi melindungi kepentingan negara.


