KOTA SAMARAHAN: Peruntukan RM4.12 juta bagi pelaksanaan Program Sejahtera MADANI Peningkatan Pendapatan di Sarawak tahun ini dilihat dapat membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan keupayaan bekerja, sekali gus keluar daripada garis kemiskinan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata program berkenaan menyediakan bantuan peralatan mengikut keperluan dan bidang pekerjaan penerima supaya bantuan yang diberikan benar-benar dapat dimanfaatkan untuk menjana pendapatan.
Jelasnya, seramai 12 individu menerima bantuan peralatan bernilai keseluruhan RM60,000 pada majlis berkenaan, membabitkan pelbagai bidang pekerjaan seperti mekanik, buruh binaan, nelayan, tukang jahit, tukang gunting rambut, peniaga dan penghantar makanan.
“Program ini menunjukkan usaha meningkatkan pendapatan rakyat memerlukan pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan dan bidang pekerjaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sejahtera MADANI Peningkatan Pendapatan: Bantuan Peralatan di Dewan Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin, Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak, di sini, hari ini.
Rubiah memberitahu, program berkenaan adalah antara usaha kerajaan dalam membantu golongan memerlukan, khususnya menerusi pendekatan peningkatan pendapatan bagi mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini.
Menurutnya, pelbagai agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri turut melaksanakan program pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan, termasuk Program Sejahtera MADANI di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.


