ARTIKEL

Datuk Seri Nancy Shukri.

RM5.63 JUTA

Projek Pembangunan Parlimen Santubong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.63 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan Parlimen Santubong sepanjang tahun 2024.

Peruntukan ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat dengan menambah baik infrastruktur, meningkatkan kesejahteraan sosial dan merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan masyarakat Sarawak, khususnya di Santubong, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Menurut beliau, usaha ini penting bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan yang lebih baik di samping memacu aktiviti ekonomi serta sosial.

Pengamal media mengambil peluang untuk bergambar kenangan bersama-sama Nancy.

“Kita tidak mahu masyarakat Sarawak menghadapi kesusahan. Melalui projek-projek seperti pembinaan rumah baharu, membaiki kediaman untuk golongan kurang berkemampuan.

“Selain itu, kita turut menyediakan kemudahan awam seperti dewan serta padang sukan, kita berhasrat untuk meningkatkan taraf hidup penduduk setempat,” katanya ketika berucap dalam program Malam Media Sarawak dan Sembang Santai di Hotel UCSI, Kuching baru-baru ini.

Enam tonggak utama pembangunan

Daripada jumlah tersebut, jelasnya sebahagian besar peruntukan disalurkan melalui beberapa program penting, termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Sementara itu, RM500,000 diperuntukkan untuk menaik taraf sistem perparitan di Kampung Tabuan Melayu serta menaik taraf Dewan Kampung Gerunggang di Lundu.

Selain itu, Projek Mesra Rakyat (PMR) menerima RM967,000 untuk melaksanakan beberapa inisiatif utama.

Antara projek di bawah PMR termasuk pembinaan Rumah Wanita baharu di Kampung Temenggong, menaik taraf padang sepak takraw di Kampung Beradek dan Kampung Sejingkat, menaik taraf Dewan Kampung Jaya Bakti, serta pembinaan struktur kawalan hakisan di Kampung Meriyu, Lundu.

PELUANG EKONOMI

Nancy menjelaskan, setiap projek ini bukan sahaja meningkatkan infrastruktur fizikal di kawasan terbabit, tetapi juga membuka lebih banyak peluang untuk aktiviti sosial dan ekonomi yang lebih kondusif.

“Ini secara tidak langsung merancakkan pembangunan komuniti serta membantu menjana pendapatan penduduk tempatan melalui aktiviti keusahawanan dan peluang pekerjaan baharu.

“Dalam usaha memastikan akses yang lebih baik di kawasan luar bandar, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut memperuntukkan RM3.17 juta di bawah Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD).

“Projek ini melibatkan naik taraf jalan di tiga lokasi utama, iaitu Kampung Pinggan Jaya, Kampung Buntal dan Kampung Sungai Cina di Lundu,” ujarnya lagi.

Selain itu, projek tersebut dijangka memudahkan pergerakan penduduk kampung dan kawasan sekitarnya — membantu meningkatkan aktiviti ekonomi seperti perniagaan tempatan dan sektor pertanian.

Sembang santai Nancy bersama-sama wartawan Bernama Rozlin Rusharmeen Rosmin.

Kerajaan turut menyalurkan bantuan melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin (PPRMS).

Sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk membaiki 60 rumah keluarga berpendapatan rendah.

“Inisiatif ini memberikan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat, sekali gus membantu mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan di kawasan tersebut,” kata beliau lagi.

Bagi memastikan pembangunan yang dijalankan di kawasan Santubong dapat memberi impak secara menyeluruh, Nancy turut menekankan kepentingan enam tonggak utama pembangunan yang menjadi asas inisiatif ini.

Merakam gambar berkumpulan sempena program Malam Media Sarawak dan Sembang Santai di Hotel UCSI baru-baru ini.

Enam tonggak tersebut merangkumi pembangunan infrastruktur, pembangunan kapasiti dan modal insan, pembangunan sosioekonomi, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan sosial, pembangunan belia, sukan dan kesukarelawanan serta pembangunan rohani yang berasaskan nilai murni.

dilaksanakan mengikut jadual

Menurut beliau, kombinasi pembangunan fizikal dan modal insan, menjadi kunci utama untuk mengubah kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik.

Di samping itu, Nancy turut menegaskan bahawa setiap projek ini harus dilaksanakan dengan teliti dan mengikut jadual agar manfaatnya dapat dirasai sepenuhnya oleh penduduk setempat.

Dengan peruntukan yang besar ini, kerajaan berharap dapat merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam memastikan pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi untuk rakyat, khususnya di kawasan Parlimen Santubong.

Dengan sokongan penuh daripada semua pihak, projek ini dijangka membawa perubahan positif kepada kehidupan penduduk serta menjamin masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

Program ini turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Maziah Che Yusoff serta tetamu kehormat lain.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha