MIRI: Masalah banjir berulang di kawasan-kawasan utama sekitar Miri akan ditangani menerusi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Miri Fasa 2 yang melibatkan peruntukan RM50 juta.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata projek tersebut merupakan kesinambungan kepada Rancangan Tebatan Banjir Sungai Lutong B dan dirancang khusus untuk mengurangkan risiko banjir di Taman Tunku, Padang Kerbau, Pujut Tanjong Batu, Jalan Bypass Riam serta Taman Lopeng Baru.
“Saya telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2021 dan mencadangkan supaya satu kajian komprehensif dilaksanakan bagi menghasilkan pelan mitigasi banjir yang menyeluruh,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Miri semalam.
Projek yang melibatkan kawasan tadahan Sungai Dalam seluas 67 kilometer persegi itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk termasuk mereka yang tinggal di sekitar Hospital Miri, Eastwood Valley, Kampung Lusut, Taman Milea, Pusat Komersial Assar serta beberapa taman perumahan utama lain.
Lee menjelaskan keutamaan akan diberikan kepada kawasan yang paling kerap dan teruk dilanda banjir seperti Taman Lopeng Baru, Padang Kerbau dan sekitar Riam Bypass.
“Saya mencadangkan agar kerja-kerja pembinaan dimulakan di kawasan yang paling kerap dilanda banjir terlebih dahulu supaya kesan dan manfaatnya dapat dirasai segera oleh penduduk setempat,” ujarnya lagi.
Tambahnya projek tersebut dijangka mengambil masa selama 60 bulan untuk disiapkan dan kini berada dalam proses mendapatkan kelulusan penempatan tapak manakala proses tender dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
Dalam pada itu beliau turut menekankan kepentingan perancangan pembangunan baharu di Miri agar mengambil kira aspek sistem saliran yang mencukupi bagi mengelak masalah banjir berulang pada masa hadapan.
Hadir sama Jurutera Bahagian DID Miri Daniel Chen, Kapitan Jee Kee Hiong, Kapitan Chong Khee Fah, Kapitan Connie Tang, Kaunselor William Sim Cheng Tiong dan Setiausaha SUPP Cawangan Senadin Jeffrey Phang.


