RM500,000 bantu pekebun lada

BETONG: Sebanyak RM500,000 disediakan oleh Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan di Simpang Layar bagi memproses dan membungkus lada.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dana tersebut termasuk membekalkan mesin yang sesuai dan diperlukan.

Katanya lagi, ia bagi membantu pekebun lada mencari pasaran alternatif terutama semasa harga kitaran yang rendah.

“Dalam keadaan seperti ini, saya berharap pekebun kita tidak membiarkan kebun masing-masing begitu sahaja, sebaliknya terus memeliharanya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian pada Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) Bahagian Betong di rumah panjang Radin Wilson, Penebak Ulu dekat Ulu Layar baru-baru ini.

Jelasnya, kerajaan juga menyediakan baja untuk membantu pekebun lada.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr Richard Rapu, Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal dan Pegawai Pertanian Bahagian Betong Petrus Kang turut hadir sama.

Suara Sarawak