SARIKEI: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM56 juta bagi pembinaan jalan baharu sepanjang tujuh kilometer dari Kerubong ke Sare, di sini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, jalan itu bakal menjadi laluan singkat sekali gus memudahkan perjalanan penduduk pesisir termasuk di kawasan Kabong dan Selalang untuk ke Sarikei.
Malah ujarnya, dengan adanya kemudahan berkenaan, penduduk tidak perlu lagi melalui Lebuhraya Pan Borneo.
“Projek ini merupakan sebahagian perancangan kerajaan untuk manfaat rakyat dalam tempoh jangka panjang.
“Terbinanya laluan ini nanti, bakal memudahkan mereka membawa keluar hasil perikanan dan pertanian,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran PBB dan Saberkas Kuala Rajang di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan terus komited dalam usaha melonjakkan potensi Sarikei dalam segenap aspek melalui pelbagai pendekatan yang terkini.
Antara usaha yang bakal dilakukan ujarnya, membangunkan Kampung Dibah atau Kampung Asal Sarikei berkonsepkan Darul Hana di Kuching.
“Kita bersyukur Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan permohonan untuk mewujudkan kawasan perumahan baharu di Sentebu melalui Skim Penempatan Semula atau Skim Pembesaran Kampung.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan penduduk agar tidak menjual tanah mereka walaupun mendapat tawaran harga tinggi,” katanya.
Menyentuh mengenai pembinaan jalan dan Jambatan Pasi, Len Talif menjelaskan projek itu juga bakal memberikan impak besar kepada pembangunan Sarikei.



