SERIAN: Projek menaik taraf jalan sedia ada dan membina jalan baharu sepanjang 2.008 kilometer bernilai RM7.6 juta dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk di tiga kampung di kawasan Tarat, selain menyediakan laluan lebih baik ke Borneo Empurau Farm & Resort.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik kepada penduduk setempat.
“Projek ini sebenarnya diluluskan lebih setahun lalu, namun pelaksanaannya mengambil masa berikutan kerja-kerja pembersihan kawasan dan pemeriksaan bagi memastikan keluasan tanah yang diperlukan serta urusan pampasan kepada pemilik tanah dapat dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Tapak Projek Membina Baharu Jalan Borneo Empurau/Kampung Tarat, Bahagian Serian di Dewan Kampung Tarat Melawi, di sini hari ini.
Projek berkenaan melibatkan jajaran yang merangkumi Kampung Tarat Sibala, Kampung Tarat Melawi dan Kampung Tarat Mawang, termasuk jalan menuju ke Borneo Empurau Farm & Resort.
Skop kerja turut merangkumi penyediaan perabot jalan dan penandaan jalan, pembinaan sistem saliran serta pembetung, selain penambahbaikan susun atur persimpangan dan aliran pergerakan trafik di persimpangan utama.

Sagah yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata, pembinaan jalan baharu itu akan menyediakan laluan alternatif kepada penduduk, memandangkan sebelum ini kawasan berkenaan hanya mempunyai jalan yang sempit berhampiran persimpangan menuju ke jalan pertanian.
Beliau menegaskan projek berkenaan bukan dilaksanakan semata-mata untuk meraih sokongan atau undi menjelang pilihan raya, sebaliknya merupakan projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan berdasarkan keperluan penduduk.
Projek bernilai RM7.6 juta itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tempoh kontrak asal selama 12 bulan bermula Disember 2025 hingga Disember 2026, sebelum tarikh siap disemak semula kepada 30 Ogos 2027.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima oleh JKR kepada SBMU Engineering Sdn Bhd bagi pelaksanaan projek tersebut.



