KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak mendedahkan sebanyak 130 kes mangsa tipu Macau Scam di 16 kawasan negeri yang dicatatkan pada awal Januari hingga 8 Disember 2019.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kes tersebut menunjukkan penurunan pada jumlah 71 kes (35 peratus) berbanding pada 2018 yang mencatatkan jumlah kes sebanyak 201.
Menurut beliau, setakat ini seramai 58 suspek meliputi 56 warganegara tempatan dan dua warganegara Indonesia terlibat dalam penipuan atas talian berjaya ditahan.
“Statistik kes menunjukkan Miri merupakan kawasan tertinggi kes tipu atas talian dengan jumlah 40 kes, diikuti Kuching sebanyak 32 kes manakala Sibu mencatat kes tipu sebanyak 27 telah dilaporkan.
“Hasil siasatan terhadap 130 mangsa penipuan mendapati jumlah kerugian dihadapi oleh mereka berjumlah RM9.1 juta,” jelasnya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, keseluruhan modus operandi kes dilihat hampir sama, iaitu taktik rakaman suara operator serta penyamaran identiti sebagai pihak berkuasa digunakan.
“Siasatan mendapati hampir kesemua suspek menyamar sebagai anggota PDRM, pejabat pos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kesihatan, Pegawai Bank Negara dengan alasan menakutkan mangsa atas kesalahan jenayah yang tidak dilakukan.
“Selain itu, mangsa juga diarahkan untuk membuka akaun baharu dan disuruh untuk memindahkan wang ke dalam akaun tersebut.
“Harus diingatkan pihak berkuasa khususnya PDRM tidak akan mengarahkan orang awam untuk berurusan memindahkan wang ke akaun peribadi, ia merupakan antara petanda awal penipuan atas talian,” tegasnya.
Dedahnya, sifat tidak ambil peduli orang awam menyebabkan segelintir daripada golongan profesional seperti doktor, peguam, guru turut menjadi mangsa tipu.
Tegasnya, orang awam dinasihatkan tidak mudah terpecaya dengan kata-kata atau arahan untuk pemindahan maklumat berkaitan kewangan agar tidak menjadi mangsa penipuan terhadap aktiviti tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau menjadi mangsa penipuan diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihaknya di talian 013-2111222 (CCID) dan 019- 7000577.