ARTIKEL

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Gambar fail

RMK-13 perkukuh persediaan Malaysia sebagai negara menua

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan memperkukuh pelbagai strategi dan inisiatif menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai langkah menyeluruh bagi menghadapi cabaran Malaysia sebagai negara menua menjelang 2030.

Usaha itu meliputi aspek kesihatan, penjagaan warga emas, pembangunan tenaga kerja mahir serta perlindungan sosial.

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan memandang serius perubahan struktur demografi negara yang menyaksikan peningkatan ketara populasi warga emas.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia telah mencapai status negara menua pada tahun 2021 apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk.

“Trend ini dijangka terus meningkat sepanjang tempoh pelaksanaan RMK-13 dan memerlukan persediaan yang komprehensif bagi memastikan kesejahteraan warga emas terus terpelihara tanpa menjejaskan kemampanan ekonomi serta fiskal negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai kesiapsiagaan kerajaan menghadapi Malaysia sebagai negara menua menjelang 2030 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, RMK-13 menggariskan pendekatan keseluruhan kerajaan serta keseluruhan masyarakat bagi memastikan persediaan negara dilaksanakan secara lebih bersepadu.

Jelasnya, dalam aspek kesihatan, kerajaan sedang melaksanakan reformasi sistem kesihatan berteraskan Kertas Putih Kesihatan Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengukuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, pencegahan penyakit, pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta peningkatan akses perkhidmatan kesihatan di peringkat komuniti.

“Perkhidmatan geriatrik, rehabilitasi, penjagaan paliatif dan penjagaan jangka panjang turut akan diperluaskan, termasuk melalui pemanfaatan teknologi digital dalam sektor kesihatan.


“Dalam usaha memperkukuh penjagaan warga emas, kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang menekankan konsep penuaan aktif, sihat dan bermaruah.

“Tumpuan diberikan kepada model penjagaan berasaskan komuniti dan keluarga, pengukuhan perkhidmatan sokongan sosial, peluasan program Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) serta pembangunan ekosistem penjagaan jangka panjang yang mampan dengan pelibatan sektor swasta dan masyarakat sivil,” jelasnya.

Menyentuh keperluan tenaga kerja, Akmal berkata peningkatan populasi warga emas akan meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja dalam sektor kesihatan dan penjagaan.

Ujarnya, RMK-13 memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti profesional kesihatan, penjaga profesional, pekerja sosial, pakar geriatrik serta tenaga kerja berkaitan menerusi program latihan, pensijilan dan peningkatan kemahiran.

Tambahnya, penggunaan teknologi dan automasi juga akan diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti sektor penjagaan.

Dalam pada itu, kerajaan akan memperkukuh jaringan keselamatan sosial yang lebih inklusif dan mampan melalui peningkatan kecukupan pendapatan persaraan, peluasan perlindungan sosial serta penyediaan bantuan yang lebih bersasar.

Tambahnya, kerajaan sedang meneroka potensi Ekonomi Perak sebagai sumber pertumbuhan baharu yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan penyertaan ekonomi dalam kalangan warga emas yang masih produktif.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalan Balingian-Sungai Anak perlu dinaik taraf

KUCHING: Penyelenggaraan, kerja naik taraf serta penyambungan pembinaan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Jalan Pan Borneo perlu diberikan perhatian serius, kata ADUN Balingian

Naik Taraf Balingian Sebagai Daerah Penuh

KUCHING: Daerah Kecil Balingian dicadangkan agar dinaik taraf kepada daerah penuh berdasarkan keluasan kawasan, perkembangan penduduk, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan. ADUN Balingian