ARTIKEL

Rodney Celvin

Rodney: Kami akan berjuang habis-habisan di laman sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemain pertahanan Kuching City FC (KCFC), Rodney Celvin atau mesra disapa Bonai, mahu pasukannya memanfaatkan sokongan penyokong untuk memberi saingan sengit kepada Tampines Rovers FC dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, jam 9 malam esok.

Rodney berkata, keterujaan untuk beraksi di laman sendiri cukup dirasai pemain kerana itulah perlawanan pertama pasukannya di tempat sendiri dalam saingan serantau berkenaan.

“Sebagai pemain, kami memang sangat teruja dengan perlawanan pertama di laman sendiri dalam Shopee Cup.

“Ini antara perlawanan yang dinantikan oleh kedua-dua pasukan. Kita hormati pasukan lawan, tetapi apabila berada di dalam padang, kami akan berikan yang terbaik dan berjuang habis-habisan,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, sokongan penyokong Sarawak, khususnya peminat The Cats, mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk memburu keputusan positif.

“Sudah tentu penyokong mahu melihat pasukan mereka pergi lebih jauh. Tetapi seperti yang selalu dikatakan, bukan mudah untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan luar.

“Apa yang boleh mereka harapkan daripada kami ialah pasukan ini akan cuba memberikan saingan sebaik mungkin kepada pasukan-pasukan besar dalam kejohanan ini,” katanya.

Rodney turut menjangkakan ancaman besar daripada barisan serangan Tampines yang mempunyai kualiti dan pengalaman di pentas antarabangsa.

“Kalau bercakap mengenai tahap permainan, pemain pasukan luar negara dan pemain kebangsaan masing-masing mempunyai kualiti.

“Apabila mereka berada bersama pasukan, kualiti itu menjadi lebih baik. Jadi secara peribadi, saya mahu tampil lebih baik dalam perlawanan ini dan sentiasa bersedia menghadapi serangan pasukan lawan,” katanya.

Rodney bukan nama baharu dalam skuad dan turut memiliki pengalaman bersama skuad kebangsaan.

Pemain berdarah campuran Ghana-Malaysia itu dikenali dengan gelaran ‘The Tank’ kerana gaya permainannya yang keras dan tanpa kompromi di bahagian pertahanan.

Rodney turut menjadi antara tonggak Malaysia pada Kejuaraan ASEAN Hyundai Cup 2026 sebelum mengalami kecederaan hamstring pada aksi separuh akhir pertama menentang Vietnam.

Beliau kembali beraksi bersama Kuching City selepas pulih daripada kecederaan itu.

Bagi Rodney, perlawanan itu bukan sekadar peluang membuka kempen dengan keputusan positif, malah medan untuk KCFC membuktikan kemampuan bersaing dengan kelab terbaik Asia Tenggara di hadapan penyokong sendiri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU