KUCHING: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan terhadap seorang buruh kerana merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam sebuah bangunan, lima tahun lalu.
Panel tiga orang hakim yang terdiri daripada Datuk Dr Wan Alwi Abdul Wahab, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Muniandy Kannyapan menolak rayuan Bolhasan, 36.
Terdahulu, pada 28 Februari 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun dan lima sebatan terhadap perayu selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pada 19 Februari 2025, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan perayu dengan menggantikan hukuman kepada penjara 16 tahun dan lima sebatan.
Di Mahkamah Rayuan hari ini, perayu memohon agar hukumannya diringankan sekali lagi, namun rayuan tersebut ditolak kerana mahkamah berpendapat hukuman berkenaan adalah setimpal.
Dia melakukan kesalahan itu di dua tempat berasingan, iaitu di hadapan sebuah bangunan di Petra Jaya, kira-kira 12 tengah hari dan 5 petang, pada 10 November 2022.
Tempat kedua kejadian ialah sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung, di sini, kira-kira 10 malam pada tarikh yang sama.
Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa menerima rawatan di sebuah hospital kerana sakit perut, dia mengaku kepada doktor bahawa dirinya telah dirogol.
Selepas mengetahui kejadian tersebut, kakak mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan perayu di sebuah kampung pada 8 Disember 2022.
Hasil siasatan mendapati perayu telah merogol mangsa sebanyak dua kali di sebuah taman di belakang sebuah bangunan, selain melakukan amang seksual.
Laporan perubatan mangsa turut mengesahkan terdapat koyakan pada selaput dara akibat penembusan objek tumpul, termasuk alat sulit lelaki.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim, manakala perayu diwakili peguam lantikan mahkamah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Simon Siah.






