KUCHING: Sebanyak RM1,626,379.58 adalah nilai keseluruhan rokok dan minuman keras yang disyaki sebagai barangan tidak bercukai yang telah dirampas dalam tiga operasi berasingan di sekitar bandar ini pada 25 Februari lalu.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, menjelaskan bahawa semua serbuan dilakukan oleh pasukan Pegawai Kastam Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat Kuching.

“Operasi pertama dijalankan sekitar jam 9 pagi, melibatkan serbuan ke sebuah premis di Batu 9, Jalan Penrissen, yang disyaki digunakan sebagai tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tanpa kelulusan kastam.
“Hasil serbuan, pasukan penguatkuasa menemui 120,740 batang rokok pelbagai jenama dan 6,826.27 liter minuman keras yang tidak mempunyai setem cukai serta kelulusan kastam,” katanya pada sidang media pagi tadi.
Dalam operasi kedua yang dijalankan sekitar jam 9.45 pagi, Norizan memaklumkan bahawa pasukan penguatkuasa menyerbu sebuah premis di Batu Kawa New Township, Kuching.
Premis tersebut didapati digunakan untuk menyimpan dan menjual minuman keras yang disyaki sebagai barangan tidak bercukai.
“Pasukan menemui 2,776.25 liter minuman keras yang disyaki tidak bercukai. Kes ini dikategorikan sebagai barangan larangan di bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang memerlukan Permit Import untuk pengimportannya,” tambahnya.
Operasi ketiga dilakukan sekitar jam 10.40 pagi di sebuah premis di Taman Malihah yang juga disyaki digunakan untuk menyimpan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai.
Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui 331,520 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama serta 13,681.92 liter minuman keras yang juga disyaki sebagai barangan tidak bercukai.
“Semua barangan tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut, dan kesemua kes ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Menurut Norizan, rokok dan minuman keras ini tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang memerlukan Permit Import untuk pengimportannya.
Sekiranya sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jelasnya.
Beliau juga menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan kepada Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat.



