Rokok, minuman keras seludup bernilai lebih RM350,000 berjaya dirampas di Miri

MIRI: Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai RM350,453.14 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di sini.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menuju ke Marudi berjaya ditahan oleh pihak Bahagian Penguatkuasaan Kastam Miri selepas disyaki membawa muatan rokok pelbagai jenama.

“Seorang lelaki yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

“Kuantiti rokok yang dirampas adalah 75,600 batang melibatkan nilai dianggarkan RM87,072 dengan jumlah cukai sebanyak RM55,485.44,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Sharifah memberitahu, dalam kes yang berasingan, sebuah rumah yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan rokok dan minuman keras pelbagai jenama turut diserbu oleh pasukan serbuan Kastam Miri.

“Semasa serbuan itu, seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan rokok dan minuman keras.

“Anggaran nilai rampasan tersebut adalah sebanyak RM32,579.78 dan membabitkan cukai bernilai RM175,315.92 yang merangkumi sejumlah 197,120 batang rokok dan 1,834.56 liter minunan keras pelbagai jenama,” kata beliau.

Ujar Sharifah, nilai keseluruhan barangan yang dirampas bagi kedua-dua kes tersebut adalah sebanyak RM 119,651.78 dan jumlah cukai yang terlibat adalah RM230,801.36 yang merangkumi sejumlah 272,720 batang rokok dan 1,834.56 liter minuman keras disembunyikan bersama muatan barangan runcit yang dibawa bersama suspek.

Minunan keras antara barangan yang dirampas semasa serbuan dilakukan di sebuah rumah di sini, baru-baru ini.