KUCHING: Sarawak dilihat sebagai rakan strategik utama serta ‘King Maker’ wilayah dalam landskap politik Malaysia dengan rombakan Kabinet Persekutuan baru- baru ini membawa mesej simbolik dan substantif kedudukan negeri ini dalam Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik, Dr Lee Kuok Tiung berkata, Sarawak memainkan peranan sebagai kuasa penentu politik wilayah dalam landskap politik Persekutuan apabila sokongan blok politik negeri ini menjadi faktor penting bagi kelangsungan kerajaan pusat dalam landskap politik berbilang parti dan ideologi.
Katanya, dari sudut simbolik, pengekalan perwakilan Sarawak dalam Kabinet Persekutuan mencerminkan pengiktirafan kerajaan pusat dengan peranan strategik negeri itu, khususnya dalam konteks politik pra-Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Langkah tersebut juga menggambarkan keperluan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperoleh legitimasi politik merentasi wilayah, bukan hanya tertumpu di Semenanjung Malaysia.
“Perwakilan dan inklusiviti dari Sabah dan Sarawak merupakan elemen penting dalam memastikan sokongan nasional yang menyeluruh, selari dengan realiti politik negara yang berbilang wilayah,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Dari sudut strategik, Dr Lee berkata pelantikan wakil Sarawak dalam barisan Kabinet bukan sekadar pertimbangan teknokrat, sebaliknya mencerminkan strategi politik bagi menjamin kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Mengulas aspek dasar pula, beliau berpandangan rombakan kabinet berkenaan boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan keperluan pengurusan hubungan Persekutuan–Sarawak yang lebih berstruktur, pragmatik dan berorientasikan rundingan, khususnya berkaitan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagaimanapun, Dr Lee berkata rombakan tersebut tidak membawa perubahan dasar yang bersifat radikal.
“Isu MA63 masih kekal sebagai agenda rundingan berperingkat tanpa penyelesaian muktamad dalam masa terdekat, manakala agenda pembangunan Sarawak akan terus dilaksanakan dalam kerangka pembangunan wilayah nasional, bukannya dalam bentuk autonomi fiskal penuh.
“Sebarang peningkatan yang berlaku adalah melalui perjanjian teknikal dan penyesuaian pentadbiran, dan bukan pemindahan kuasa secara besar-besaran kepada negeri,” jelasnya.
Dari segi implikasi ekonomi dan pembangunan wilayah, Dr Lee menjangkakan Sarawak akan terus menjadi tumpuan utama pelaburan strategik, khususnya dalam sektor ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui serta bidang berkaitan sumber, selari dengan kepentingan strategik negeri itu dalam agenda pembangunan nasional.
Namun, beliau mengingatkan bahawa wakil Sarawak yang dilantik bakal berdepan cabaran besar untuk mengimbangi peranan sebagai menteri Persekutuan dan pada masa sama mempertahankan kepentingan wilayah.
“Kegagalan mengurus keseimbangan ini boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat Sarawak, termasuk tanggapan bahawa hak negeri diketepikan selepas wakilnya diberikan kedudukan di peringkat Persekutuan.
“Kejayaan pendekatan rundingan yang lebih berstruktur ini bergantung kepada keupayaan Kerajaan Pusat dan wakil Sarawak untuk mengekalkan kepercayaan rakyat serta memastikan tuntutan MA63 ditangani secara konsisten, telus dan berkesan,” katanya.



