KUCHING: Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memastikan kestabilan bekalan negara susulan ketidaktentuan pasaran petroleum global yang berterusan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, harga petroleum global masih kekal tinggi melebihi AS$100 setong berikutan konflik di Asia Barat yang masih belum menemui penyelesaian.
Menurut kenyataan itu, keadaan berkenaan turut memberi tekanan terhadap bekalan minyak mentah dan produk petroleum global susulan kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di rantau terbabit.
“Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu, harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 7 Mei hingga 13 Mei 2026 ditetapkan seperti berikut,” menurut kenyataan itu.
Harga RON97 dikekalkan pada RM4.90 seliter, manakala RON95 meningkat sebanyak lima sen kepada RM4.02 seliter berbanding RM3.97 sebelum ini.
Harga diesel di Semenanjung Malaysia turut meningkat lima sen kepada RM5.17 seliter berbanding RM5.12 seliter sebelum ini.
Pada masa sama, kerajaan terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu rakyat dan sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
RON95 di bawah program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala diesel bersubsidi bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.
Harga diesel bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut dikekalkan pada RM2.15 seliter, manakala Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter.
Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi mengurangkan kesan turun naik harga terhadap rakyat di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.



