ARTIKEL

ROSE jangkakan lebih 20 representasi persempadanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE) menjangkakan lebih 20 representasi akan dikemukakan oleh kumpulan dari beberapa kawasan yang terjejas berhubung Syor 1 Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak.

ROSE menerusi satu kenyataan hari ini berkata, representasi berkenaan boleh berupa sokongan, bantahan, atau cadangan perubahan terhadap syor yang dipamerkan.

“Tarikh akhir penghantaran representasi ditetapkan pada 30 September ini, namun kumpulan yang berhasrat mengemukakannya digalakkan supaya tidak menunggu sehingga hari terakhir.”

“Proses pendaftaran, pengumpulan penandatangan, dan penghantaran perlu dibuat lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah teknikal atau kesilapan dokumentasi,” katanya.

Sehubungan itu, ROSE menyeru mana-mana kumpulan atau komuniti yang mempunyai alasan untuk menyokong, membantah, atau mencadangkan perubahan tetapi tidak mengetahui cara menggerakkan kumpulan, mendapatkan sekurang-kurangnya 100 pemilih, atau menyediakan representasi supaya menghubungi pertubuhan itu.

Jelasnya, mereka bersedia memberikan penerangan dan bimbingan berkaitan proses berkenaan kepada kumpulan atau komuniti yang memerlukannya.

“ROSE tidak menentukan sama ada sesuatu kumpulan perlu menyokong atau membantah kerana keputusan itu adalah hak rakyat.”

“Peranan ROSE adalah untuk memastikan mereka memahami proses dan mempunyai maklumat yang diperlukan untuk menggunakan hak tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, ROSE mengingatkan semua kumpulan yang berhasrat mengemukakan representasi supaya mengambil tindakan lebih awal memandangkan 30 September merupakan tarikh akhir penghantaran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU