Trending

Rugi RM89,000 diperdaya penyamar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MIRI: Terpedaya dengan tipu helah penyamar menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun rugi RM89,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 30 Julai lalu.

Mangsa merupakan penyelia sebuah kilang di sini mendakwa ditipu individu yang menyamar dari sebuah bank.

Suspek dikenali sebagai ‘Jack Tan’ mengatakan mangsa mempunyai hutang pinjaman peribadi sebanyak RM70,000 dan meminta menghubungi Bahagian Jenayah Polis.

“Mangsa kemudian bercakap dengan ‘Inspektor Mazlan’ yang memaklumkan mangsa terlibat dengan satu kes jenayah melibatkan dadah dan perlu segera mengeluarkan wang dari akaun.

“Setelah itu, mangsa bertindak memasukkan wang RM89,000 ke empat akaun yang berlainan melalui lima transaksi antara 9 sehingga 26 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa menyedari dirinya ditipu setelah suspek mengarahkannya memasukkan wang tambahan RM10,000 sebagai bayaran untuk mengeluarkan peguam dari lokap seperti yang diarahkan mahkamah.

Dalam kes berlainan, seorang mangsa wanita, 57, iaitu pembantu tadbir dari Sibu rugi RM3,000 akibat terperdaya dengan suspek wanita dikenali sebagai ‘Intandiana Hj Osman’ dari Mahkamah Majistret Melaka.

Suspek memberitahu mangsa mempunyai hutang kad kredit berjumlah RM16,840 dan diarah menghubungi ‘Sarjan Chan’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka serta dikehendaki membuat laporan secara talian.

“Selepas itu, mangsa dikehendaki membayar wang RM3,000 sebagai cagaran bagi mengelakkan tindakan Bank Negara terhadapnya.

“Mangsa telah pindahkan wang sebanyak RM3,000 ke satu akaun atas nama individu tidak dikenali seperti yang diminta ‘Sarjan Chan’,” jelas Mustafa.

Katanya, mangsa mula menyedari ditipu apabila ‘Sarjan Chan’ masih menghubungi beliau untuk membuat bayaran tambahan selepas itu.

Dalam pada itu, Mustafa memberitahu, bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 Julai tahun ini, 66 kes Macau Scam dilaporkan di Sarawak dengan jumlah kerugian mencecah RM4.18 juta berbanding 86 kes melibatkan nilai kerugian mencecah RM5.74 juta pada tempoh yang sama tahun 2018.

Sementara itu, tambahnya, 19 orang ditangkap bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Julai tahun ini berbanding hanya sembilan orang pada tempoh sama 2018.

Oleh itu, Mustafa meminta masyarakat tidak panik dan mudah percaya dengan panggilan individu yang dikenali.

“Masyarakat dinasihatkan tidak melayan semua dakwaan dibuat spemanggil itu dan boleh memaklumkan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat mengenai panggilan telefon yang mencurigakan.

“Masyarakat juga perlu tahu bahawa pihak polis atau agensi-agensi kerajaan tidak pernah minta orang untuk memasukkan wang atau membuat bayaran melalui mesin ATM untuk sebarang bentuk bayaran seperti saman dan sebagainya ke akaun peribadi individu tertentu,” ujarnya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru