Rumah 11 penghuni hangus terbakar

KUCHING: Sebuah rumah yang didiami 11 penghuni terbakar keseluruhan dalam kejadian kebakaran di Lorong 4, Jalan Jambori Stakan, hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarawak, pihaknya menerima laporan daripada pengadu sekitar jam 12.34 tengah hari sebelum mengerahkan 19 anggota BBP Kota Samarahan dan Batu Lintang ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran disedari orang awam setelah rumah terbabit mengeluarkan kepulan asap hitam lalu segera bertindak melaporkan kejadian melalui talian 999.

“Sampai di lokasi kejadian mendapati sebuah rumah berkeluasan 60×50 kaki telahpun terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman dilakukan bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke tempat berdekatan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyatan itu berkata hasil pemeriksaan turut mendapati kesemua penghuni bagaimanapun telah terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dedahnya, rumah tersebut didiami oleh tujuh penghuni lelaki manakala selebihnya adalah wanita.

Dalam pada itu, operasi penyelamat dan pemadaman seterusnya berakhir pada jam 2.58 petang.

MUSNAH… Rumah kediaman musnah 100 peratus

Suara Sarawak