LUNDU: Simbol identiti dan perpaduan masyarakat Kampung Sebako bakal diberi nafas baharu menerusi projek pembinaan semula Rumah Adat Kampung Sebako 1 dan Kampung Sebako 2 yang dilaksanakan melalui peruntukan khas kerajaan negeri.
Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang semalam, sekali gus menandakan permulaan usaha memelihara warisan budaya yang menjadi tunjang kehidupan komuniti setempat.
Projek bernilai RM100,000 itu dibiayai melalui peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan tumpuan diberikan terhadap pengukuhan fungsi Rumah Adat sebagai pusat aktiviti sosial, kebudayaan dan perhimpunan masyarakat.
Billy dalam ucapannya menegaskan bahawa, Rumah Adat bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya merupakan lambang jati diri dan penyatuan penduduk kampung.
‘’Ruang tersebut memainkan peranan penting sebagai lokasi mesyuarat, sambutan perayaan, majlis keramaian serta aktiviti kemasyarakatan yang mengeratkan hubungan antara generasi,’’ katanya.
Majlis yang berlangsung selama dua jam bermula jam 4.30 petang itu dihadiri kira-kira 30 penduduk dan dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sebako 1 dan Kampung Sebako 2.
Selain menyempurnakan majlis pecah tanah, beliau turut meninjau perkembangan pembinaan baharu Gereja AWC Sebako sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan infrastruktur keagamaan serta kemudahan komuniti di kawasan berkenaan.
Inisiatif tersebut memperlihatkan pendekatan pembangunan luar bandar yang menyeluruh dengan memberi perhatian serius terhadap pemeliharaan warisan budaya dan pengukuhan institusi sosial masyarakat.
Melalui pembinaan semula Rumah Adat ini, penduduk Kampung Sebako bakal memiliki ruang yang lebih selesa dan kondusif untuk meneruskan tradisi serta memperkukuh perpaduan, sekali gus memastikan warisan tempatan terpelihara bagi generasi akan datang.



